Sunday, November 1, 2009

Hamilton terpantas



Pemandu sensasi McLaren, Lewis Hamilton (gambar) akan memulakan perlumbaan sulung Grand Prix (GP) Abu Dhabi di petak utama hari ini. Pada sesi kelayakan di Litar Yas Marina semalam, Hamilton mencatat masa terpantas iaitu 1 minit dan 40.948 saat, sekali gus merekodkan petak utama ke-17 sepanjang 52 perlumbaan yang diharunginya setakat ini.
"Saya gembira kerana dapat bermula di petak hadapan pada perlumbaan di Abu Dhabi. Saya berharap dapat meraih kejayaan pada perlumbaan penutup akhir musim ini," jelas Hamilton.
Petak kedua dan ketiga pula masing-masing menjadi milik dua pemandu Red Bull, Sebastian Vettel dan Mark Webber.
Petak keempat dihuni pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello sementara rakan sepasukannya, Jenson Button yang telah disahkan sebagai juara dunia musim ini pula akan bermula dari petak kelima.
Namun malang bagi Ferrari apabila kedua-dua pemandunya gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dengan juara dunia 2007, Kimi Raikkonen sekadar di petak ke-11 manakala Giancarlo Fisichella di petak terakhir.
Juara dunia dua kali daripada pasukan Renault, Fernando Alonso pula yang bakal menggantikan tempat Raikkonen musim depan turut gagal menyerlah semalam apabila sekadar meraih petak ke-16, prestasi terburuknya sepanjang musim ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails