Saturday, November 7, 2009

Siapa juara?


Saingan Piala Malaysia 2009 kini semakin hampir sampai ke kemuncaknya. Dua pasukan, Kelantan dan Negeri Sembilan bakal membuat perhitungan untuk menentukan pasukan manakah yang lebih layak menjulang piala yang paling berprestij dalam sejarah bola sepak negara ini.

Perlawanan akhir Piala Malaysia tersebut dijadualkan berlangsung pada 8.45 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 100,00 adalah dijangkakan stadium terbesar di Malaysia itu akan dipenuhi segenap sudutnya oleh penyokong kedua-dua pasukan.

Baik Kelantan mahupun Negeri Sembilan, pasti mengharapkan sokongan padu dari penyokong masing-masing untuk menaikkan semangat para pemain yang berjuang di padang. Kejayaan dalam perlawanan itu nanti sedikit sebanyak pastinya dipengaruhi oleh sorakan yang menggamatkan stadium.


Pelbagai pihak sudah mula membuat ramalan pasukan mana yang bakal menjulang kejuaraan Piala Malaysia tahun ini. Antara Kelantan dan Negeri Sembilan, kedua-dua pasukan dilihat agak seimbang kekuatannya. Namun begitu, ramalan yang dibuat oleh kebanyakan pihak lebih berat kepada pasukan Wira Merah.


Kelantan adalah pasukan yang prestasinya penuh warna-warni dalam kejohanan tempatan tahun ini. Pada ketika mereka diberi harapan sebagai pasukan pilihan untuk merangkul Liga Super, berlaku satu peristiwa yang akhirnya meragut impian mereka itu.

Kejadian rusuhan di Kota Bharu ketika menentang Negeri Sembilan mengakibatkan mereka dihukum dan diarahkan bermain di luar Kota Bharu. Prestasi mereka tiba-tiba jatuh merudum. Sokongan penyokong turut berkurangan ekoran kos perjalanan yang terpaksa ditanggung peminat jika ingin menyaksikan perlawanan yang melibatkan Kelantan. Ia juga menyebabkan kantung KAFA berkurangan sehingga pada satu ketika KAFA mengugut mahu menarik diri dari kejohanan Liga Super.

Kelantan juga hampir merangkul piala pertamanya tahun ini namun terpaksa akur kepada ketentuan takdir apabila tunduk dengan penentuan sepakan penalti kepada Selangor dalam perlawanan akhir Piala FA. Keupayaan mereka muncul sebagai naib juara Piala FA itu sebenarnya sudah mengesahkan tentang kemampuan mereka menjadi pencabar utama dalam semua kejohanan Liga Malaysia.

Dalam saingan Piala Malaysia, Kelantan dilihat antara pasukan yang konsisten prestasinya. Skuad ‘Red Warriors’ adalah pasukan pertama yang mengesahkan tempat ke suku akhir. Mereka juga memenangi perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir dengan agregat yang selesa.

Indra Putra Mahayuddin dilihat sebagai ikon kepada skuad Kelantan. Perpindahannya dari Shah Alam ke Kota Bharu memberikan seribu rahmat kepada pasukan Pantai Timur itu. Kehebatannya menjaringkan gol meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kini, Indra sudahpun menjaringkan sejumlah sepuluh gol dalam saingan Piala Malaysia. Anugerah yang diterimanya selaku Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai sewaktu majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan hari Rabu lalu pastinya akan menyuntik semangat tambahan kepada Indra untuk beraksi lebih cemerlang dalam final itu nanti.

Selain Indra, Kelantan juga boleh mengharapkan Norfarhan Mohamad selaku penggempur gawang lawan. Farhan meledakkan jaringan hatrik dalam perlawanan menentang Perlis ketika saingan separuh akhir pada ketika Indra terpaksa digugurkan kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Ada juga pendapat yang mengatakan penjaga gol veteran, Halim Napi bakal muncul wira Kelantan dalam final nanti. Lebih dikenali dengan sifat panas baran, Halim dikatakan masih relevan untuk mengawal gawang gol Kelantan berdasarkan pengalaman yang dimilikinya. Mungkin jika keputusan perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti, barulah Halim akan mengeluarkan kukunya yang sudah disimpannya sekian lama.


Negeri Sembilan juga bukanlah calang-calang pasukan. Rekod kemenangan 100% dalam saingan Piala Malaysia membuktikannya. Dari segi populariti, Kelantan mungkin berkelebihan namun menidakkan keupayaan skuad Hoben Jang Hoben adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Kembar Negeri Sembilan, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha ternyata aset paling bernilai yang dimiliki oleh mereka. Kekentalan Aidil di benteng pertahanan dan ketajaman penyudah Zaquan di gawang lawan sering menimbulkan kegerunan di kalangan pemain lawan.

Gelaran Pemain Pertahanan Terbaik yang dianugerahkan kepada Aidil mengiktiraf sumbangannya kepada negeri kelahirannya dan juga keupayaannya menerajui benteng pertahanan negara dalam tugasan antarabangsa.

Zaquan pula kini bersaing hebat dengan Indra selaku penjaring terbanyak dalam saingan Piala Malaysia. Malah tidak keterlaluan juga dikatakan dia adalah antara penyerang terbaik negara buat masa ini dan ketajamannya di depan gol lawan sudah tidak boleh disangkal lagi.

Negeri Sembilan juga agak bertuah kerana memiliki jentera tengah yang kreatif mencipta peluang-peluang untuk menjaringkan gol. Kehadiran Shukor Adan dan Rizal Zamberi Yahya di bahagian tengah ternyata begitu mengesankan terutama kelasakan Shukor yang sering mengganggu corak permainan lawan.


Kedua-dua pasukan ini sudah mendambakan kejayaan sejak sekian lama. Tempoh panjang menanti peluang untuk menjulang kejuaraan berprestij negara kini muncul di depan mata. Baik Kelantan mahupun Negeri Sembilan pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan ini yang mungkin tidak akan muncul lagi selepas ini.

Rekod pertemuan kedua-dua musim ini lebih memihak kepada Negeri Sembilan. Daripada empat pertemuan, Negeri Sembilan menang tiga daripadanya.

Negeri Sembilan menang kedua-dua perlawanan menentang Kelantan dalam saingan Liga Super, menang 2-0 di Seremban dan 2-1 di Kota Bharu. Dalam saingan separuh akhir Piala FA, Negeri Sembilan kalah 1-2 di Seremban tetapi menang 1-0 di Kota Bharu namun Kelantan layak ke final atas perkiraan kelebihan gol di tempat lawan.

Bagaimanapun, ianya hanyalah satu keputusan yang sudah tersimpan dalam lipatan sejarah. Rekod pertemuan itu boleh menjadi kebanggaan malah mungkin juga boleh menjadi pengajaran kepada kedua-dua pasukan. Status pasukan pilihan untuk muncul juara hanyalah sekadar satu catatan di atas kertas dan juga sekadar satu ramalan sahaja. Namun kekadang ianya juga adalah interpretasi sebenar kemampuan kedua-dua pasukan untuk merangkul piala berprestij ini.

Perahu sudah berada di air dan pendayung sudah ada di tangan. Perahu yang bocor pastinya akan tenggelam dan jika pendayungnya patah maka perahu yang elok pun akan hanyut dibawa arus. Signifikannya, hanya pasukan yang berada dalam prestasi terbaik sahaja yang akan muncul sebagai juara.

Pasukan yang berjaya mengawal tekanan dan kurang melakukan kesilapan pasti lebih berpeluang untuk menang, satu ayat yang klise dan sering disebut setiap kali saingan sesuatu kejohanan sampai ke kemuncak. Namun, itulah kenyataannya. Hanya yang terbaik yang akan jadi juara.

Kini, masanya sudah tiba. Diharapkan penyokong kedua-dua pasukan dapat mengawal perasaan dan dapat menerima sebarang keputusan dengan penuh semangat kesukanan. Rusuhan di Kota Bharu sudahpun menjadi sejarah dan seharusnya menjadi iktibar kepada semua penyokong bola sepak tempatan. Kita tidak mahu kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyokong, orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsanya.

Keprestijan Piala Malaysia perlu dipelihara. Sebagai sebuah kejohanan tertua di Malaysia, keupayaan sesebuah pasukan menjulang pialanya adalah satu kebanggaan yang akan dikenang sampai bila-bila. Sama ada Kelantan atau Negeri Sembilan, final malam ini akan menjadi penentunya.


Ramalan Saya – Kelantan 2 vs Negeri Sembilan 1.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails