Thursday, November 5, 2009

Drogba sedia robek MU



Penyerang Chelsea, Didier Drogba (gambar) yakin dia kini berada pada prestasi terbaik dan sedia membenam Manchester United di Stamford Bridge, Ahad ini selepas menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya seri 2-2 dengan Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah semalam. Bintang bola sepak Ivory Coast itu, yang membuat penampilan pertama di pentas Eropah musim ini selepas menamatkan penggantungan tiga perlawanan, menjaringkan gol pada minit ke-82 dan 88.
Drogba tidak pernah beraksi di Eropah sejak Mei lalu kerana digantung selepas gagal mengawal diri dan hilang sabar dengan bertindak memaki pengadil sebaik tamat separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.
"Saya telah bermain dalam banyak perlawanan Liga Juara-Juara bersama Chelsea dan saya amat gembira dapat kembali ke padang sekali lagi.
"Saya tidak tahu apakah saya telah mempamer permainan bola sepak terbaik dalam karier saya tetapi saya mengharungi musim yang baik di sini sejak beberapa tahun lalu.
"Saya bermain dengan keyakinan yang sangat tinggi dan keadaan menjadi bertambah mudah apabila anda bebas daripada kecederaan,'' kata Drogba.
Drogba bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang beberapa musim lalu tetapi mendapat sentuhan jaringan musim ini dan membuktikan dia adalah tonggak penting pasukan.
"Saya harap prestasi dan perasaan ini dapat diteruskan sehingga akhir musim.
"Sekarang, kami hanya memikirkan tentang Manchester United dan kami kena melakukan apa saja untuk menewaskan mereka di tempat sendiri,'' kata bekas pemain Marseille itu.
Chelsea kini menerajui Liga Perdana England dengan dua mata meninggalkan penyandang juara, United.
Jurulatih mereka, Carlo Ancelotti memuji persembahan Drogba yang berjaya membawa Chelsea ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.
"Didier amat bermotivasi dari awal musim dan permainan baiknya itu konsisten. Harap dia dapat teruskan prestasi seperti itu sehingga akhir musim dan bertemu Manchester United nanti.
"Kami mempunyai ramai pemain penting dan dia adalah salah seorang dari mereka,'' kata Ancelotti.
Walaupun rekod kemenangan 100 peratus Chelsea di Eropah musim ini berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Madrid, namun Ancelotti tetap gembira dengan kemaraan pasukannya ke pusingan seterusnya.
Kata Ancelotti kejayaan layak lebih awal membolehkan pasukannya mengalih sepenuh tumpuan kepada saingan liga domestik, terutama pertemuan menentang United, Ahad ini.
"Saya tidak rasa pemain kami banyak memikirkan tentang pertemuan dengan Manchester United sebelum perlawanan ini (menentang Atletico) tetapi sekarang mereka mula memikirkannya,'' ujar jurulatih dari Itali itu lagi.


Siaran Langsung ahad ini jam 11.55 malam di ASTRO 812

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails