Persaingan dua kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona tidak pernah berhenti.
Kelmarin, Real berjaya memintas seteru utamanya itu untuk menghuni kedudukan teratas Liga Sepanyol selepas menang 1-0 ke atas Racing Santander.
Barcelona pula yang turut selaku juara bertahan musim ini tercicir ke tangga kedua selepas hanya berkongsi keputusan seri 1-1 dengan Athletic Bilbao.
Pada aksi di Santiago Bernebau kelmarin, bintang Argentina, Gonzalo Higuain muncul wira Real selepas dia menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-22.
Kemenangan itu meletakkan Real dengan 28 mata, iaitu satu mata di hadapan Barcelona.
Terdahulu, Daniel Alves meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-53 sebelum Gaizka Toquero menyamakan kedudukan untuk Athletic Bilbao pada minit ke-63.
Begitupun, kebimbangan jurulatih Barcelona, Pep Guardiola kini bukanlah mengenai kedudukan pasukannya, tetapi masalah kecederaan yang dialami Lionel Messi.
Messi digantikan oleh Bojan Krkic pada minit ke-75 pada aksi di San Mames itu selepas dia mengalami kecederaan di bahagian otot paha kiri.
"Kami terpaksa mengeluarkan Messi kerana dia mengalami kesakitan. Kami akan melakukan ujian ke atasnya esok (hari ini), namun laporan awal mendapati tidak berada dalam keadaan baik," kata Guardiola.
Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic juga terlepas perlawanan kelmarin ekoran kecederaan paha manakala Eric Abidal dan Yaya Toure kelihatan lemah selepas dijangkiti virus.
No comments:
Post a Comment