Sunday, November 1, 2009

N. Sembilan, Kelantan berentap

http://kelate.net/images/banners/1.bannerfinall.jpg


HATRIK daripada Nor Farhan Mohamad menjulang Kelantan layak ke final Piala Malaysia pertama mereka dalam tempoh 39 tahun selepas gah menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Utama Kangar, malam tadi.
Kejayaan agregat 5-1 itu menyaksikan The Red Warriors bakal bertemu Negeri Sembilan - lawan yang menewaskan Terengganu, juga dengan angka jaringan sama - bagi memburu mahkota kejuaraan edisi kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November ini.
Ketiadaan tonggak tengah, Indra Putra Mahyuddin sedikit pun tidak menjejaskan anak didik B Sathianathan dengan Nor Farhan membuktikan Kelantan mampu berdiri tinggi tanpanya apabila menjaringkan semua gol pasukan minit ke-26, 53 dan 87.

Kelantan yang bijak menyerap asakan lawan membuka jaringan melalui Nor Farhan yang berjaya melepasi kekangan Fauzi Nan sebelum tenang menolak masuk bola ke dalam gawang Perlis.

Selepas rehat, pelawat melebarkan jaringan apabila Nor Farhan sekali lagi mempamerkan kawalan bola cemerlang dan hantaran lintangnya dari kanan kotak penalti terkena pertahanan Perlis sebelum melepasi penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.
Perlis bagaimanapun terus mencari gol pertama dan akhirnya berjaya disempurnakan Firdaus Fauzi pada minit ke-70 yang meloloskan diri daripada pertahanan sebelum menyepak tenang melepasi Halim.

Namun, ia gagal menghalang gemilang Nor Farhan dan Kelantan apabila penyudah tepat pemain berkenaan menewaskan Farizal untuk meletakkan Kelantan dalam buruan gelaran pertama selepas gagal pada 1970 dan 1955.

Di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Terengganu tidak dapat menyekat kemaraan Negeri Sembilan apabila tewas 3-1.
Pada aksi malam tadi, penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak meletakkan skuad Rusa di hadapan seawal minit ke-10.
Lapan minit kemudian, Zaquan membuktikan kehebatannya apabila meledak gol kedua Negeri Sembilan.
Ketika permainan babak pertama memasuki masa kecederaan, penyerang kelahiran Terengganu, Hairuddin Omar menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat.
Gol sagu hati skuad Penyu pula dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid pada minit ke-35.
Kekalahan itu turut melenyapkan impian Terengganu untuk mengulangi pencapaian tahun 2001 apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails