Pengurus Arsenal, Arsene Wenger enggan menyalahkan ketiadaan Robin van Persie sebagai punca kekalahan 0-1 anak buahnya kepada Sunderland pada aksi Liga Perdana England kelmarin.
Sebaliknya, Wenger secara sinis menyindir barisan pertahanannya yang dianggap cukup longgar dan kurang bermaya.
Pada aksi di Stadium of Light itu, Sunderland bijak menggunakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk menewaskan Arsenal 1-0 hasil jaringan Darren Bent.
"Saya tidak mahu fokus pada seorang individu. Kekalahan itu berpunca daripada kesilapan besar barisan pertahanan kami. Beberapa pemain bukan berada dalam keadaan terbaik.
"Namun, kami juga perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak menjaringkan gol dan situasi ini cukup membimbangkan kerana telah membuktikan jentera serangan pasukan ini agak tumpul," kata Wenger.
Dengan kekalahan itu, Arsenal kini jatuh ke tangga ketiga liga dengan 25 mata, iaitu lapan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.
Wenger menambah, Sunderland bukannya sebuah pasukan yang kuat, tetapi mereka berjaya menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol.
"Kami langsung tidak terancam dengan serangan Sunderland dan cuma melihat peluang yang mereka lakukan. Secara keseluruhannya, kami lebih banyak mendapat bola dan mereka pula cuba memusnahkan. Mereka cuba untuk menyekatkan kami," katanya.
No comments:
Post a Comment