Juara Eropah, Barcelona diundi bertemu Inter Milan, pasukan mewah Real Madrid akan bertemu AC Milan manakala Manchester United bersaing dengan pasukan penuh kejutan dari Jerman, Wolfsburg selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.
Musim ini menyaksikan sembilan bekas juara beraksi dalam format 32 pasukan yang diasingkan dalam lapan kumpulan manakala empat pasukan dari England dan Sepanyol akan bertarung untuk mencipta sejarah kejayaan ke-13, kedua-dua negara sudah mencipta sekitar sedozen kejayaan setakat ini.
Kumpulan A menempatkan juara empat kali, Bayern Munich berdepan juara dua kali, Juventus, juara Perancis, Bordeaux dan Maccabi Haifa dari Israel.
Dalam Kumpulan B, Manchester United, juara Eropah pada 1968, 1999 dan 2007 yang juga naib juara tahun lalu, akan bertemu juara Jerman, Wolfsburg, wakil Turki, Besiktas dan CSKA Moscow.
"Ini ialah saingan yang sukar, terutama kunjungan ke Russia dan Turki," kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.
Bekas bintang United, Cristiano Ronaldo bersama juara sembilan kali yang juga pasukan berbelanja paling besar musim panas lalu, Real Madrid perlu berdepan juara tujuh kali AC Milan dalam Kumpulan C, bermakna kepulangan awal ke San Siro buat pemain Brazil, Kaka.
Marseille, pasukan tunggal dari Perancis yang pernah meraih trofi berkenaan serta pasukan kurang ternama FC Zurich dari Switzerland melengkapkan kumpulan berkenaan.
Chelsea, finalis 2008 yang mahu mencipta mahkota pertama di bawah bimbingan bekas pengendali AC Milan, Carlo Ancelotti diletakkan dalam Kumpulan D dengan mereka akan bertemu juara dua kali, Porto, Atletico Madrid dan wakil Cyprus, APOEL Nicosia.
No comments:
Post a Comment