Thursday, August 13, 2009

Ferguson tidak gentar ancaman


Alex Ferguson (kanan) dan Pengurus Chelsea, Carlo Anceloti ketika saingan Perisai Komuniti yang menyaksikan Manchester United tewas.

Jika pasukan kaya, Manchester City mahu menggertak Manchester United ketika musim baru belum bermula, mereka bukan sahaja berjaya melakukannya tetapi juga telah mengatasi United apabila berbelanja 100 juta pound (RM579 juta) untuk mendapatkan pemain baru.

Kehadiran Carlos Tevez dari United, Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure dari Arsenal, Roque Santa Cruz dari Blackburn dan Gareth Barry dari Aston Villa sudah pasti akan mempertingkatkan tahap keupayaan City dalam musim baru Liga Perdana England (EPL) yang bermula hujung minggu ini.

Bagaimanapun, ia tidak sedikit pun memberi ancaman buat pengurus United, Alex Ferguson, yang akan cuba mempertahankan kejuaraan tanpa pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, mahupun Tevez.

Apa yang membuatkan dia sakit hati di Old Trafford ialah City melaungkan amaran untuk mencabar kedudukan empat pasukan gergasi dan kedudukan United sebagai pasukan terbesar di England.

City seperti menyindir United apabila menggantung kain rentang di bandar tersebut dengan menunjukkan Tevez menyarung jersi City berserta slogan 'Selamat Datang Ke Manchester'.

"Itu adalah sebuah kelab yang kecil dengan pemikiran yang kolot, apa yang mereka boleh cakap ialah mengenai Manchester United.

"Ia bukan sesuatu yang mudah buat City bagi musim ini dan bagi saya mereka masih belum layak untuk berada sebaris dengan empat pasukan terbaik.

"Apa yang mereka belanjakan telah selesai, Mark Hughes masih perlu mencari keseimbangan dan apa yang dia ada 10 penyerang," kata Ferguson.

Sejak Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan mengambil alih City tahun lepas, Hughes telah berbelanja sebanyak 220 juta pound (RM1.2 bilion) untuk mendapatkan pemain baru, termasuk rekod Britain 32.5 juta pound yang dibayar untuk mendapatkan pemain Brazil, Robinho pada permulaan musim lepas.

Jika tidak berjaya menamatkan saingan liga di empat tempat terbaik dianggap sebagai kegagalan buat City, yang kali terakhir membuat sasaran realistik pada 1976-77 apabila mereka muncul naib juara di belakang Liverpool.

Mereka tidak pernah menang kejuaraan utama sejak Piala Liga 1976 dan apabila kembali ke saingan EPL pada 2002, kedudukan terbaik mereka di dalam liga ialah di tangga kelapan pada 2005.

Hughes yang merupakan bekas wira United di bawah Ferguson pada era 80-an dan 90-an, tidak berada di awangan.

"Saya masih ingat tekanan di bawah Alex Ferguson ketika saya menjadi pemain United dan kami mengharungi empat tahun untuk memenangi Piala FA.

"Bagi mendapatkan piala pertama ia amat sukar sekali. Selepas itu kejayaan menjadi perkara biasa kerana anda mempunyai pengalaman untuk mencapainya

"Saya tahu tekanan yang sedang saya hadapi. Pemilik kelab mahu membawa kelab ini di antara kelab empat terbaik dan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan segera," katanya.

Bagi merealisasikan impian itu City perlu mengetepikan salah satu pasukan sama ada United, Chelsea, Liverpool atau Arsenal dan hanya Everton sahaja yang mampu melakukannya pada enam musim kebelakangan ini iaitu pada 2004-05.

Selain kehilangan Tevez kepada City dan Ronaldo ke Real, United pasti yakin dengan kerana mereka masih mempunyai pemain muda yang hebat.

Jika pembelian pemain secara percuma, Michael Owen dapat menemui semula sentuhan jaringan bersama Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov, sekali gus menghilangkan kesan ketiadaan Ronaldo yang menjadi penyumbang jaringan.

United sedang berusaha untuk meraih kejuaraan keempat berturut-turut, kejayaan yang tidak pernah dilakukan oleh bola sepak England dan mensasarkan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails