Fabio Capello mengkritik sikap angkuh pemain bintangnya ketika menentang Belanda pada aksi persahabatan kelmarin.
Kesilapan Rio Ferdinand dan Gareth Barry memberi peluang kepada Belanda mendahului 2-0 menerusi jaringan Dirk Kuyt dan Rafael van der Vaart sebelum England bangkit pada babak kedua perlawanan di Amsterdam itu.
Pemain gantian, Jermain Defoe meledak dua gol untuk menjadikan keputusan seri 2-2, sekali gus menyelamatkan maruah England daripada dimalukan Belanda.
Begitupun, jurulatih England, Capello menyelar sikap sombong dan terlalu yakin yang ada dalam diri beberapa pemain bintangnya.
"Ia hanya dua kesilapan mudah. Saya tidak marah kepada mereka kerana saya tahu mereka agak kelam-kabut," kata Capello.
"Cuma, saya rasakan yang mereka terlalu yakin apabila memegang bola.
"Kesilapan inilah yang selalu- nya membuatkan mereka melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan pemain lawan menjaringkan gol."
Meskipun agak berang dengan dua gol Belanda itu, Capello bagaimanapun menegaskan, beliau tidak cepat panik untuk mengatur strategi pada masa rehat.
"Saya masih bertenang. Kamu kena faham apa yang kamu perlu lakukan," kata Capello.
"Ia bukannya selalu berlaku. Situasi ini amat penting bagi pemain dari segi psikologi dan jika pengurus masih ada keyakinan, mereka masih mampu mengubah keputusan perlawanan."
No comments:
Post a Comment