Carlo Ancelotti berjaya melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Jose Mourinho mahupun Guus Hiddink, iaitu memenangi trofi pada perlawanan pertamanya.
Kini, pengurus baru Chelsea itu akan bertemu pencabarnya, Alex Ferguson sekali lagi pada satu majlis ringkas yang dianjurkan Persatuan Pengurus-Pengurus Liga Perdana England sebelum musim baru ini bermula.
Ancelotti sebelum ini sudah pun mendapat perhatian Ferguson yang menganggap Chelsea adalah satu-satunya ancaman kepada misi Red Devils untuk menjuarai rekod keempat berturut-turut gelaran Liga Perdana England.
Selepas menyaksikan The Blues menang 4-1 menerusi penentuan penalti ke atas United pada aksi Perisai Komuniti kelmarin, Ancelotti berkata: "Ia satu permulaan yang penting bagi musim ini.
"Seperti biasa, kami perlu meningkatkan kualiti permainan kerana kami telah mengubah sedikit rentak pasukan ini.
"Kami perlu berusaha keras dan perbaiki lagi prestasi, tapi kini kami sudah boleh berehat sdikit. Saya bukan saja gembira dengan perlawanan ini. Saya juga suka pemain skuad ini, sikap mentaliti mereka dan juga pengurusan kelab ini. Saya rasa kami sudah bersedia untuk memulakan musim yang sangat penting bagi kami.
"Kami mahu berikan yang terbaik mampu kami lakukan. Kini, malam ini (kelmarin) kami akan meraikannya."
Ancelotti berjaya membuktikan kehebatannya apabila menghadiahkan kejayaan dalam tugasan pertamanya.
"Saya sangat gembira. Babak pertama pastinya bukan mudah kerana United bermain dengan baik. Tapi kami bangkit lebih baik pada babak kedua," kata Ancelotti.
"Kami tunjukkan lebih kekuatan di atas padang dan saya rasa kami memang layak memenanginya."
No comments:
Post a Comment