Thursday, August 6, 2009

Hajat Alonso tercapai

Alonso sedang membuat pemeriksaan kesihatan di Madrid
IMPIAN Alonso (kiri) untuk menyarung jersi Real Madrid akhirnya menjadi kenyataan apabila Liverpool bersetuju melepaskannya ke kelab Sepanyol itu.

Liverpool akhirnya melepaskan Xabi Alonso ke Real Madrid selepas bersetuju menerima tawaran perpindahan dipercayai berjumlah £30 juta (RM177 juta).

Spekulasi mengenai masa depan pemain kebangsaan Sepanyol itu terjawab dengan kenyataan ringkas disiarkan laman web The Reds semalam.

XABI ALONSO
Benitez bersetuju dengan syarat-syarat dikemukakan Real bagi membawa Alonso ke Bernabeu

Kenyataan itu menyebut, Kelab Bolasepak Liverpool dengan ini mengesahkan persetujuannya untuk menjual Xabi Alonso kepada Real Madrid dan pemain itu kini cuma perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi melengkapkan perpindahan dengan syarat perjanjian adalah kekal sulit dan tidak akan didedahkan.

Walaupun Liverpool tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai perjanjian itu, sumber sulit mendakwa bayaran baru yang diletakkan Galacticos itu telah berjaya menarik minat pengurus Rafael Benitez.

Real dipercayai mengemukakan tawaran £30 juta dan akan dinaikkan kepada £34 juta (RM200 juta) bergantung kepada prestasi ditunjukkan Alonso sepanjang dua tahun pertama yang termaktub dalam kontrak lima tahun pemain tengah itu.

Alonso dijangka bertolak ke Sepanyol hari ini sementara rakan sepasukannya akan berlepas ke Norway bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Lyn Oslo.

Sementara itu, laman web Real mengesahkan bahawa Alonso akan menjalani pemeriksaan perubatan hari ini.

Selepas semua berjalan lancar, dia kemudian akan menyertai seorang lagi rakan pasukannya, Alvaro Arbeloa yang berpindah ke Real minggu lalu dengan bayaran £3.5 juta (RM20 juta) dan penjaga gol, Jerzy Dudek.

Alonso dan Dudek adalah sebahagian daripada pemain Liverpool ketika kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam penentuan penalti dramatik menentang AC Milan di Istanbul.

Kini hanya tinggal Steven Gerrard dan Jamie Carragher masih kekal di Anfield daripada 18 pemain Liverpool ketika kelab itu memenangi kejuaraan Eropah itu.

Pemergian Alonso pastinya mengecewakan peminat-peminat Merseyside yang sudah sebati dengan kehadiran pemain itu dalam pasukan mereka.

Benitez mula cuba menjual pemain tengahnya itu sejak musim panas lalu dalam usahanya meraih sumber kewangan bagi mendapatkan pemain Aston Villa, Gareth Barry walaupun Alonso enggan berpindah.

Sebaliknya musim ini Benitez enggan melepaskannya pergi walaupun Alonso ketika hari terakhir musim lalu telah menyatakan hasratnya untuk pulang ke Sepanyol.

Dengan pembelian Alonso itu, presiden Real, Florentino Perez dipercayai membelanjakan sekitar £220 juta (RM1.3 bilion) dalam masa dua bulan untuk membeli Cristiano Ronaldo, Kaka, Raul Albiol, Esteban Granero, Arbeloa, Alvaro Negredo dan Karim Benzema.

Rombakan besar-besaran dilakukan Perez itu adalah sebagai sebahagian daripada usahanya untuk merampas kejuaraan yang dibolot seterunya Barcelona yang memenangi Liga Juara-Juara, La Liga dan Piala Sepanyol musim lalu.

Sementara itu, Michel Salgado ditamatkan khidmatnya bersama Real selepas 10 tahun bergelumang bersama kelab itu dalam kancah La Liga.

Salgado, 33, yang tiba di Bernabeu pada 1999 dari Celta Vigo dilepaskan pihak pengurusan Real lebih awal dengan persetujuan sendiri walaupun kontraknya masih berbaki setahun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails