Friday, August 14, 2009

Jerman selesa pimpin saingan Kumpulan 4


KLOSE dan Schweinsteiger masing-masing meledak satu gol kelmarin.

Jerman mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan 4 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2010 selepas menang 2-0 ke atas Azerbaijan kelmarin.

Gol daripada Bastian Schweinsteiger dan Miroslav Klose menyaksikan Jerman selesa mengumpul 19 mata, empat mata mendahului Rusia yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan.

"Kami berjaya melaksanakan misi kami dan mengutip tiga mata," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

"Tetapi kami menghadapi beberapa masalah seperti kehilangan rentak dan mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit permainan.

"Amat penting untuk memperbaiki permainan kerana masih ada sembilan mata lagi untuk dikutip," kata Loew.

Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan manakala lapan pasukan naib juara yang terbaik akan mengharungi dua perlawanan penentuan kelayakan.

Dalam pada itu, Rusia yang turun pada aksi persahabatan kelmarin, terpaksa akur kepada kehebatan bekas juara dunia, Argentina apabila mereka tewas 2-3.

Bintang Zenit St. Petersburg, Igor Semshov terlebih dahulu meletakkan Rusia di hadapan sebelum Argentina memperoleh tiga gol menerusi penyerang Atletico Madrid, Sergio Aguero, Lisandro Lopez dan Jesus Datolo.

Pada penghujung babak kedua, penyerang Tottenham, Roman Pavlyuchenko merapatkan jurang untuk kedudukan 2-3.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails