Sunday, August 30, 2009

Azimat Ancelotti


ASHLEY Cole (tengah) merembat untuk menyumbat gol kemenangan Chelsea sambil diasak pemain Burnley, Clarke Carlisle (kiri) dan Graham Alexander pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge, London, malam tadi. Chelsea menang selesa 3-0.

Bulan madu Carlo Ancelotti dalam Liga Perdana England (EPL) berterusan selepas pasukan bimbingannya, Chelsea mencatat kemenangan 3-0 ke atas Burnley di Stamford Bridge, semalam.

Sejak mengambil alih jawatan pengurus, ini adalah kemenangan keempat berturut-turut yang dicipta Chelsea di bawah Ancelotti - tidak termasuk kejayaan menewaskan Manchester United dalam Perisai Komuniti.

Pasukan dari barat London itu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah atau seri semalam dengan memperoleh gol menerusi Nicolas Anelka, Michael Ballack dan Ashley Cole.

Anelka menyambut hantaran lintang Didier Drogba di depan gawang Burnley dengan satu tampanan yang menggegar jaring sebelum menuju ke bilik persalinan.

Sebaik bermula babak kedua, Chelsea tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua menerusi Ballack yang menanduk hantaran Frank Lampard.

Chelsea terus bermaharajalela dengan memperoleh gol ketiga apabila Lampard sekali lagi memulakan gerakan satu-dua untuk membolehkan Cole menyepak cantik ke penjuru gawang Burnley.

Sementara itu, Liverpool bangkit daripada permulaan hambar awal musim dengan menewaskan Bolton Wanderer 3-2 di Stadium Reebok.

Biar pun dua kali ketinggalan, pasukan bimbingan Rafa Benitez itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi Glen Johnson dan Fernando Torres sebelum Steven Gerrard menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan. Lain-lain keputusan Blackburn 0 West Ham 0, Stoke 1 Sunderland 0, Tottenham 2 Birmingham 1, Wolverhampton 1 Hull 1.

Sementara itu, pada perlawanan dua gergasi EPL antara Manchester United dan Arsenal, menyaksikan Arsenal tunduk kepada The Red Devils 2-1. Gol sendiri pemain Arsenal, Abou Diaby pada m-63 membolehkan United menang selepas menambah jaringan awal Wayne Rooney pada m-58 walaupun Gunners mendapat gol awal daripada Andrey Ashavin pada m-39.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails