Saturday, August 1, 2009

Sir Bobby Robson meninggal dunia: 1933-2009

SIR BOBBY ROBSON
Robson kali terakhir dilihat menyaksikan perlawanan amal antara bekas pemain Piala Dunia 1990, England dan Jerman pada Ahad lalu

Bekas pengurus England, Sir Bobby Robson, 76, meninggal dunia hari ini selepas bertarung lama melawan penyakit barah yang dihadapinya.

Robson dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan England selepas berjaya membawa Ipswich Town memenangi Piala FA dan Piala UEFA pada 1978 dan 1982.

Layak ke separuh akhir Piala Dunia 1990 adalah antara pencapaian terbaik beliau sepanjang mengemudi pasukan England.

Beliau pernah menjadi pengurus PSV Eindhoven, Sporting Lisbon, FC Porto dan Barcelona sebelum kembali mengemudi pasukan tempat lahirnya di timur laut England, Newcastle United pada 1999.

Robson dilahirkan di County Durham dan mula menambat hati rakyat Britain selepas berjaya membawa England dikenali sebagai gergasi bola sepak Eropah.

Pemecatan beliau selaku pengurus Newcastle pada Ogos 2004 sering disifatkan peminat-peminat The Toons sebagai satu sumpahan yang menyebabkan kemerosotan skuad tersebut sehingga tergelincir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Robson menghabiskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional di Fulham, West Bromwich Albion dan Vancouver Royals yang kini sudah berkubur termasuk mewakili England dalam Piala Dunia 1962.

BOBBY ROBSON
Wajah tampan Robson sewaktu zaman kegemilangannya dalam bola sepak England sering menjadi kegilaan gadis-gadis ketika itu

Mendiang menderita barah selama 18 tahun dan kali terakhir dilihat umum pada Ahad lalu ketika menyaksikan perlawanan amal Newcastle United antara bekas pemain kebangsaan England dan Jerman yang pernah beraksi dalam Piala Dunia 1990 termasuk jemputan khas dari Yayasan Sir Bobby Robson.

"Dengan dukacitanya dimaklumkan Sir Bobby Robson telah meninggal dunia selepas bertarung lama melawan barah yang dihidapinya," kata kenyataan dari keluarga mendiang.

"Pengebumian Sir Bobby hanya dibuka kepada ahli keluarganya saja. Upacara memperingati Sir Bobby akan diadakan kemudian untuk kawan-kawan dan teman sepasukannya.

"Isteri Robson dan pihak keluarga amat menghormati kerjasama semua agar upacara pengebumian peribadi ini dihormati," kata kenyataan itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails