Wednesday, August 12, 2009

Kenya pertaruh barisan terbaik jumpa Malaysia

RAJAGOBAL optimis
skuad kendaliannya
mampu memberi cabaran kepada Kenya.

Bukan calang-calang pasukan yang dipertaruhkan Kenya dalam perlawanan persahabatan menentang Malaysia hari ini, hampir 90 peratus pemain mereka adalah barisan yang sama menewaskan Mozambique 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Jun lalu.

Perkara ini telah dinyatakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kenya, Sammy Joel Obingo, bahawa mereka bakal menurunkan barisan terkuat sebagai salah satu persiapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

"Perlawanan persahabatan ini mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan kedua menentang Mozambique bulan depan dan sekarang ini di peringkat kumpulan kami berada di tangga ketiga," katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, walaupun pemain yang berpangkalan di Eropah tidak dapat hadir kerana menjalani pra-musim bersama pasukan masing-masing tetapi pemain yang disenaraikan adalah yang terbaik dari liga tempatan.

"Mereka memang menyatakan hasrat untuk hadir bersama tetapi bagi menjaga hubungan baik antara Kenya dan beberapa kelab Eropah, mereka diberi kelonggaran untuk terus bersama kelab masing-masing.

"Jika kami membariskan mereka ia akan menghadapi masalah untuk memanggil mereka pulang semula menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia nanti yang masih di pertengahan jalan," katanya.

Antara pemain utama Kenya yang tidak hadir ialah MacDonald Mariga (Parma) dan Patrick Onyango (beraksi di salah sebuah kelab di Republik Czech.

Sammy berkata, pemain yang disenaraikan berumur dalam lingkungan antara 24 hingga 25 tahun, termasuk seorang pemain yang dikatakan akan menjalani ujian bersama sebuah kelab di Sweden, Evans Wandera.

"Kami juga teruja apabila melihat pasukan anda menentang Manchester United dalam perlawanan persahabatan bulan lalu dan tidak sabar menyaksikan pemain yang menjaringkan dua gol (Amri Yahyah).

"Selain itu juga kami menganggap Malaysia bukan calang-calang pasukan kerana banyak kelab besar datang menjalani pra-musim di sini termasuk United dan Chelsea," katanya.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk melihat kelibat Amri tidak kesampaian apabila pemain itu berada di Paris bersama pasukan Selangor dan dalam masa yang sama jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak menyenaraikan pemain senior.

Kenya juga berharap perlawanan persahabatan ini bakal mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam sukan bola sepak termasuk perlawanan melibatkan pasukan negara bawah 17 dan 20 tahun.

Selain Mozambique, Kenya juga berada dalam satu kumpulan bersama pasukan yang pernah melayakkan diri ke Piala Dunia, Nigeria, Tunisia dan Ghana.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails