Sunday, August 16, 2009

Jaringan Drogba julang Chelsea







PEMAIN Chelsea, Didier Drogba (dua dari kanan) melihat bola sepakannya melepasi penjaga gol Hull City, Boaz Myhill dan menerjah ke gawang gol untuk mengesahkan kemenangan The Blues dalam saingan musim baru bola sepak Liga Perdana England di Stamford Bridge, semalam.

Didier Drogba menyumbat dua gol untuk menghadiahkan kemenangan pertama Chelsea buat pengurus baru mereka, Carlo Ancelotti dengan menewaskan Hull City 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana England, semalam.

Drogba menjaringkan gol kemenangan di minit kedua masa kecederaan apabila membuat hantaran silang tetapi sebaliknya bola menuju ke gawang menewaskan Boaz Myhill yang menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.

Pada awal permainan, ia seperti Hull ingin memberikan kekecewaan buat Chelsea apabila pemain yang baru dibeli mereka Stephen Hunt memberikan gol pendahuluan buat Tigers sebelum Drogba menyamakan kedudukan.

Chelsea yang menamatkan saingan di tangga ketiga musim lalu, gagal memanfaatkan beberapa peluang pada separuh masa kedua.

Chelsea sepatutnya berada di depan seawal minit kedua apabila Drogba merembat liar dari jarak empat meter sebaik menerima hantaran menarik dari Michael Essien.

Akhirnya, The Blues terpaksa menerima bayaran yang mahal atas kegagalan mereka menyempurnakan peluang apabila Hunt yang buat pertama kali beraksi bersama Hull, memberikan gol pendahuluan buat pelawat pada minit ke-28.

Hunt sebelum ini mewakili Reading pernah mencederakan penjaga gol The Blues, Petr Cech sehingga retak tempurung kepala.

Gol pendahuluan Hull bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tidak sampai 10 minit, Drogba menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma melencong dari jarak 26 meter selepas John Obi Mikel dikasari.

Chelsea hampir menjadikan kedudukan 2-1 pada awal separuh masa kedua apabila Nicolas Anelka merembat tepat ke arah penjaga gol Hull, Boaz Myhill dari jarak dekat.

Aksi Myhill terus cemerlang apabila menampan dengan kaki kedua-dua percubaan dari Anelka dan Drogba pada minit ke-57.

Sementara itu, Drogba berkata, dia berhasrat untuk melakukan hantaran silang tetapi ia lebih baik daripada itu apabila bola terus menerjah ke gawang gol.

"Kami mengharungi aksi separuh masa kedua yang begitu sukar, kami dapat menjaringkan banyak gol hari ini tetapi tidak bernasib baik.

"Ia sesuatu yang bagus dapat menjaringkan gol walaupun keadaannya amat sukar tetapi ia sesuatu yang positif apabila dapat mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama.

"Kepercayaan kami untuk memenangi perlawanan ini amat tinggi. Hari ini kami membuktikannya, kami terus berjuang sehingga perlawanan tamat. Kami amat bertuah dapat menjaringkan gol tetapi keinginan untuk menang tetap tinggi," kata Drogba.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails