Zlatan Ibrahimovic telah membantu Barcelona menjulang dua trofi pada dua aksi kompetitif awalnya bersama juara Eropah itu.
Namun, penyerang yang baru dibeli dari Inter Milan itu masih memburu gol sulungnya bersama kelab Catalan tersebut.
Awal pagi semalam, Ibrahimovic masih gagal menemui sentuhan gol ketika Barcelona menjuarai Piala Super UEFA selepas menang 1-0 ke atas juara Piala UEFA, Shaktar Donetsk.
Namun jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata, penyerang kebangsaan Sweden itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru selepas terlepas aksi pramusim kerana menjalani pembedahan pada tangan kirinya.
"Ibrahimovic merupakan pemain yang bagus dan dia boleh menguruskan dirinya untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainan kami.
"Cuma buat masa ini, kami hanya menghadapi sedikit masalah kerana dia tidak dapat banyak berlatih dengan kami akibat cedera," kata Guardiola.
Pada aksi awal pagi semalam, perlawanan hampir menuju penentuan sepakan penalti tetapi jaringan pemain gantian, Pedro Rodriguez pada minit ke-115 memberikan kemenangan buat Barcelona.
Ahad lalu, Ibrahimovic pada penampilan sulung aksi kompetitifnya telah berjaya membantu Barcelona menewaskan Athletic Bilbao 3-0 untuk muncul juara Piala Super Sepanyol dengan agregat 5-1.
No comments:
Post a Comment