Penyerang Didier Drogba berjanji untuk mengharungi musim ini dengan gembira selepas selesai menandatangani kontrak baru bersama Chelsea baru-baru ini.
Kontrak selama tiga tahun dengan The Blues bakal menyaksikan penyerang Ivory Coast itu menamatkan kariernya di Stamford Bridge berikutan umurnya kini yang sudah berusia 31 tahun.
Justeru Drogba berikrar untuk memberikan musim yang gemilang buat peminat Chelsea dengan bersandarkan aksi cemerlang pasukan London itu sepanjang kempen 2008/09.
"Saya ada ramai kawan di Perancis ketika ini yang tidak mempunyai pasukan dan tanpa kontrak. Jadi, saya tahu betapa beruntungnya saya berada di sini dan saya mahu menikmatinya," katanya.
"Saya sudah bermain pada peringkat tertinggi sejak berusia 25 tahun. Dalam minda saya, saya masih berasa muda. Saya tidak tahu berapa lama lagi boleh bermain, tetapi apa yang penting adalah menikmati detik-detik terbaik ini.
"Mungkin saya nampak gembira sekarang dan saya tahu apa yang saya lakukan. Tetapi saya juga tahu apa yang telah saya lakukan sebelum ini, malahan setahun lalu. Saya tahu semuanya dan saya beritahu anda. Sebab itulah mengapa saya masih berada di sini bersama Chelsea.
"Saya rasa sangat bagus. Saya mahu bermain dan berasa gembira berada di kemuncak bersama rakan sepasukan. Saya mahu menghadiahkan kepada peminat satu musim yang hebat," katanya lagi.
Walaupun membantu Chelsea dalam kejuaraan Perisai Amal menentang seterunya, Manchester United minggu lalu, Drogba mengakui masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan dalam permainannya.
"Ketika menentang United, saya hilang banyak bola dan saya rasakan ia bukan sesuatu yang normal. Saya perlu mengurangkan kesalahan, hilang bola. Anda tahu sentiasa ada ruang untuk ditingkatkan dan saya mahu tingkatkan apa yang saya lakukan sebelum ini. Saya mahu lakukan lebih baik dan mengelak melakukan kesilapan.
"Ini saya penting untuk difikirkan, untuk menjadi sempurna. Lebih banyak anda bermain dalam perlawanan besar, lebih banyak anda akan belajar. Saya rasa belum terlambat untuk belajar," katanya.
No comments:
Post a Comment