Sunday, August 9, 2009

Ancelotti tak rasa tertekan


Ancelotti




Carlo Ancelotti tidak merasai sebarang tekanan untuk menyamai pencapaian yang dilakukan pengendali sementara Chelsea, Guus Hiddink.

Hiddink berjaya mengubah nasib The Blues selepas dilantik sebagai pengurus sementara sejak pemecatan Luiz Felipe Scolari Januari lalu apabila berjaya menghadiahkan kejayaan Piala FA dengan mengalahkan Everton pada Mei lepas.

Pengurus dari Belanda itu kemudian kembali semula meneruskan tugas utamanya bersama skuad kebangsaan Rusia dengan Ancelotti dilantik secara rasmi sebagai pengurus baru Julai lalu selepas menghabiskan masa lapan tahun bersama AC Milan.

Dia kini berpeluang menghadiahkan kejayaan pertama buat Chelsea apabila mereka berdepan Manchester United pada perlawanan Perisai Komuniti di Wembley malam ini.

"Bagi saya Guus seorang pengurus yang bagus," kata Ancelotti.

"Dia telah membuktikan kemampuannya di mana saja dia berada. Kini saya mahu memberi yang terbaik buat Chelsea. Saya mahu bercakap dengan Guus tapi saya tiada peluang menemuinya.

"Tetapi mungkin suatu hari nanti dan itu pun jika dia mahu datang, saya pasti akan gembira."

Ancelotti juga mengakui dirinya berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pemainnya sepanjang bulan pertama di bawah bimbingannya.

Kejayaan ke atas United malam ini pastinya menyemarakkan lagi semangat Chelsea dan ia juga satu tamparan hebat dari segi psikologi buat anak buah Alex Ferguson itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails