Pengurus Manchester United, Alex Ferguson kini fokus untuk memenangi trofi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut.
Untuk rekod, belum ada kelab yang berjaya melakukannya di England sebelum ini.
Musim lalu, Ferguson berjaya membawa United menyamai rekod kemenangan tiga musim berturut-turut yang pernah dicatatkan Arsenal, Liverpool dan Huddersfield Town.
Kini pengurus veteran itu berasakan skuad The Red Devils mampu untuk melakukan lebih daripada itu.
Pada Disember tahun lalu, United ke Jepun dan menjuarai Piala Kelab-Kelab Dunia sebelum kembali beraksi di pentas liga domestik untuk mengejar pendahulu ketika itu, Liverpool.
"Memenangi empat kejuaraan (berturut-turut) merupakan sesuatu yang kami mahu lakukan dan jika berjaya ia satu pencapaian terhebat.
"Kami sedar betapa sukarnya untuk menjuarai liga ini. Kami telah mendapat saingan yang cukup sengit musim lalu.
"Musim ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan saya harap kami dapat melakukannya lagi.
"Namun, percubaan menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut menjadi satu cabaran yang hebat buat kami," jelas Ferguson.
No comments:
Post a Comment