Javier Mascherano mungkin menjadi perancang terakhir yang bakal meninggalkan Liverpool.
Selepas seorang lagi perancang Liverpool, Xabi Alonso dilaporkan bakal menyertai Real Madrid, abang Mascherano pula memberitahu bahawa pemain Argentina itu berminat untuk menyertai musuh tradisi Real, Barcelona.
"Jika Barcelona membuat tawaran yang bagus, saya percaya Javier akan meninggalkan Liverpool kerana ia jalan penyelesaian terbaik buat dirinya dan juga keluarganya.
"Tetapi saya rasa jika tiada tawaran yang bagus, mereka (Liverpool) tidak akan melepaskannya pergi," kata Sebastian Mascherano semalam.
Minggu lepas, ejen Mascherano, Walter Tamer berkata, pemain berusia 25 tahun itu sudah 'letih dengan kehidupan' di England dan Barcelona merupakan destinasi pilihannya.
Kini abang bintang liverpool itu memberitahu, Mascherano mahu bergandingan dengan rakan senegaranya, Lionel Messi.
"Saya jamin Messi dan Javier telah berhubung," katanya.
"Leo adalah antara individu yang memujuk Javier berpindah ke Barca."
Seandainya Liverpool membenarkan Alonso pergi ke Real, maka pengurus The Reds, Rafael Benitez pastinya berdepan kesukaran untuk mengekalkan Mascherano di Anfield.
No comments:
Post a Comment