Tuesday, May 12, 2009

FAM tak mahu perjudi kesihatan pemain B-23

Tiada saingan Piala Antara Benua tahun ini sebaliknya akan diganti dengan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk pasukan bawah 23 (B-23) negara berikutan kes jangkitan virus influenza A (H1N1).

Selepas mendapat surat balas dari Kementerian Kesihatan dan mengkaji dengan serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk membatal kejohanan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 14 Jun depan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, FAM telah merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan dengan menghantar surat minggu lepas dan jawapannya telah diperolehi semalam.

"Kementerian Kesihatan telah menasihatkan agar kejohanan ini ditunda pada tarikh lain tetapi melihat kepada jadual yang ketat dan disusun rapi, FAM mengambil hasrat untuk membatalkan terus kejohanan tersebut tahun ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, beberapa perlawanan persahabatan akan diatur buat skuad B-23 negara untuk persiapan pasukan tersebut menjelang Sukan SEA di Laos Disember depan.

"Pembatalan kejohanan ini adalah disebabkan oleh wabak penyakit virus H1N1 yang sedang melanda beberapa buah negara diseluruh dunia sekarang.

"FAM telah mengkaji dengan serius dan mendalam beberapa faktor bersama beberapa pihak yang terlibat secara langsung dengan penganjuran kejohanan ini dan mengambil keputusan membatalkannya," kata Azzuddin.

Antara negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut ialah skuad B-23 Brazil, Mexico, Turki dan Korea Selatan.

"FAM memandang serius mengenai penularan virus H1N1 ini, dimana pihak kami sentiasa mengutamakan aspek kesihatan yang tinggi dan peka dengan nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Oleh itu FAM telah membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan ini di mana dan berharap semua pihak yang terlibat akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

FAM juga telah mengeluarkan kenyataan pembatalan ini di dalam web rasmi persatuan tersebut.

Skuad B-23 tahun bimbingan K. Rajagobal itu sedang menjalani latihan dan mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan pertama menentang Selangor Sabtu lalu.

Mereka dijadualkan mengadakan beberapa perlawanan ujian menentang skuad B-23 tahun Singapura dan sebuah pasukan kelab liga negara tersebut.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails