Wednesday, May 13, 2009

Tevez minat ke Anfield


Penyerang Manchester United, Carlos Tevez memang sudah tawar hati untuk terus kekal di Old Trafford.

Apa yang disumbangkannya untuk United bagaikan tidak dihargai.

Statusnya kini masih kekal sebagai pemain yang dipinjam selain sering memanaskan bangku simpanan.

Keadaan tersebut semakin meresahkan pemain dari Argentina itu yang menganggap kualiti permainannya bukan untuk memanaskan bangku simpanan.

Maka, tidak hairan dia secara terbuka mendedahkan niat untuk meninggalkan Old Trafford.

Destinasi yang menjadi impiannya kini ialah Anfield.

Semalam, Tevez secara terbuka mendedahkan bahawa dia mahu menyertai Liverpool.

“Jika diberi pilihan, saya akan menyertai Liverpool,” katanya.

Berita itu pastinya mengundang kemarahan pengurus United, Alex Ferguson yang sebelum ini enggan melepaskan Tevez ke Anfield.

Kecuali United mengikat Tevez secara tetap, Ferguson tidak boleh menghalang keinginan penyerang kelahiran Argentina itu untuk mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan pada musim panas ini.

Liverpool pula dilaporkan telah menghubungi ejen Tevez, Kia Joorabchian untuk menyatakan hasrat mereka, dan penyerang itu nampaknnya menunjukkan minat.

Sekiranya berjaya mencapai kata sepakat, Tevez, 25, dilaporkan akan terus tinggal di Cheshire, kediaman tetap keluarganya ketika ini.

Kini, Ferguson perlu memutuskan sama ada sanggup berbelanja sebanyak £26 juta (RM139.856 juta) ke atas Tevez atau sebaliknya.

Dua tahun lalu, Ferguson pernah menghalang bekas tonggak pertahanannya, Gabriel Heinze menyertai Liverpool sekalipun United telah berhasrat menjual pemain berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails