Tuesday, May 12, 2009

Pemain badminton di Guangzhou selamat

Tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai sama ada merebaknya wabak selesema influenza A (H1N1) yang mampu meragut nyawa ke atas skuad badminton negara dalam persaingan berpasukan campuran Piala Sudirman di Guangzhou, China, ketika ini.

Semua anggota pasukan disahkan sihat dan bebas daripada jangkitan wabak itu malah masih bersemangat untuk berjuang di Gimnasium Guangzhou biarpun membuka tirai kejohanan dengan sentuhan kecundang 3-2 kepada Korea Selatan, kelmarin.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh ketika dihubungi di kota China itu berkata: "Semua pemain sihat. Tiada sebarang kes atau khabar mengenai wabak yang dikesan di sini sama ada terhadap pemain atau pegawai lain."

Bagaimanapun katanya, mereka sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga malah semua pemain sentiasa diingatkan supaya hanya mengambil makanan yang telah disediakan di hotel penginapan sahaja.

Sebelum ini, BAM turut mengambil langkah perlu dengan melengkapkan ilmu pengetahuan dan menambah kesedaran pemain mengenai wabak berkenaan menerusi pengedaran risalah dan makluman secara lisan.

"Pemain tentu sudah cukup tahu bagaimana untuk menjaga dan menjamin kesihatan diri di Guangzhou," katanya.

Malah Institut Sukan Negara (ISN) turut menghantar seorang doktornya, Dr. Victor Feizal Abdul Shatar Knight ke Guangzhou dalam memastikan setiap atlet mematuhi segala langkah pencegahan oleh Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan.

Semalam, Reuters melaporkan China memperoleh kes pertama H1N1 apabila seorang lelaki di wilayah Sichuan disahkan positif dijangkiti virus berkenaan selepas pulang dari Amerika Syarikat.

Menurut agensi berita Xinhua pula, pesakit berusia 30 tahun itu kini berada di Hospital Penyakit Berjangkit Chengdu dan orang ramai yang berhubung rapat dengannya turut diasingkan untuk pemantauan perubatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails