Friday, May 15, 2009

Gol minit akhir gagal julang Malaysia


Pemain Malaysia, Sukri Mutalib (bawah) diasak pemain Pakistan, Haider Abbas pada perlawanan separuh akhir Hoki Piala Asia VIII di Wisma Belia di Kuantan, semalam. Malaysia tewas 2-4. -
Pasukan hoki Malaysia gagal mara ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Asia VIII selepas tewas kepada pasukan Pakistan 2-4 malam tadi walaupun percubaan gol minit-minit akhir dilakukan.

Ternyata Pakistan yang merupakan antara pasukan gergasi dunia sukar ditandingi pasukan negara walaupun Malaysia memberi tentangan yang cukup sengit pada perlawanan berkenaan.

Dengan kekalahan itu bermakna pasukan negara akan berhadapan dengan China bagi menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat Sabtu ini di Stadium Hoki Indera Mahkota.

Pada perlawanan bermula pukul 7.30 petang malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat memulakan rentak perlawanan dengan corak permainan sama iaitu saling melancarkan serangan mengejut ke pintu gol lawan.

Namun, corak permainan seperti itu ternyata memberi kelebihan buat pasukan hoki Pakistan yang dilihat lebih mudah menggoyahkan benteng pertahanan negara.

Manakala, serangan-serangan mengejut yang dilancarkan Malaysia pula kelihatan mudah dikekang benteng pertahanan Pakistan yang lebih berkeyakinan mengawasi pintu gol mereka.

Walaupun gol sulung perlawanan diperoleh oleh Malaysia melalui gerakan cantik Ismail Abu pada minit ke-3, tetapi pasukan negara sekadar mampu mengekalkan mata tersebut hingga minit-minit terakhir perlawanan.

Tetapi, pasukan hoki Pakistan yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan serangan dan mengasak pintu gol negara hingga akhirnya pemain mereka, Rehan Butt menyerikan kedudukan pada minit ke-19.

Pada perlawanan separuh masa, kedua-dua pasukan dilihat masih mengekalkan corak permainan yang sama dengan saling melancarkan serangan-serangan mengejut untuk mendapatkan mata dan mendahului pihak lawan.

Bagaimanapun, pada minit ke-47 permainan, kealpaan benteng pertahanan negara mengundang padah apabila pemain Pakistan, Akhtar Ali menjaringkan gol kedua buat pasukan itu untuk mendahului Malaysia.

Pasukan negara cuba bangkit menyamakan kedudukan, malangnya setiap serangan yang diatur oleh anak buah Tai Beng Hai seakan-akan mudah dibaca dan dihalang Pakistan.

Beberapa minit terakhir sebelum perlawanan tamat, pasukan negara sekali lagi tersentak apabila Butt sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-63.

Tidak sampai tiga minit, sekali lagi Pakistan melalui Haseem Khan menyumbat gol keempat yang menyaksikan pasukan negara mula kehilangan rentak permainan.

Pantang mengundur, pemain negara, Ismail Abu bagaimanapun mengurangkan aib kekalahan dengan memperoleh gol kedua negara pada minit-minit terakhir perlawanan melalui pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Beng Hai ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan berkata, walaupun tewas, dia tetap berpuas hati atas komitmen yang dipamerkan pemain negara sepanjang kejohanan.

''Ia satu perlawanan yang sengit menentang Pakistan dan saya berharap skuad negara akan memberi komitmen tinggi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat ketika menentang China nanti,' katanya.

Beng Hai menambah, persediaan latihan selama empat setengah bulan yang dilalui Malaysia telah menunjukkan hasil yang baik dan pasukan hoki negara kini bertambah baik berbanding sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails