Friday, May 15, 2009

Status Tevez masih kabur



CARLOS Tévez meraikan kejayaan memenangi perlawanan dengan Wigan bersama-sama Wayne Rooney di Stadium JJB, Wigan kelmarin. United menang 2-1. –

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson berkata, Carlos Tevez diberikan satu tawaran untuk kekal di kelab bola sepak Liga Perdana England (EPL) itu namun dakwaan itu ditolak serta-merta oleh wakil penyerang tersebut.

Kekeliruan kelmarin muncul selepas Tevez menjaringkan gol penyamaan untuk Red Devils bangkit menewaskan Wigan 2-1, yang menyebabkan pasukan itu hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk menjuarai EPL buat kali ketiga berturut-turut.

Hujung minggu lalu, pemain antarabangsa Argentina itu berkata, dia akur untuk meninggalkan United pada hujung musim ini apabila tempoh pinjaman dua tahunnya berakhir kerana tiada percubaan untuk merundingkan satu perjanjian perpindahan dengan syarikat yang memiliki pendaftarannya.

Namun selepas memuji kemasukan Tevez sebagai pemain gantian di Wigan, Ferguson berkata, usaha telah dijalankan oleh ketua eksekutif kelab, David Gill untuk membuat tawaran.

“Dia seorang pemain yang hebat – dia tahu saya mahukannya kekal.

“David Gill telah mengadakan satu pertemuan yang bagus dan saya telah bercakap dengannya. Kami memberikannya satu tawaran dan kami berharap dia menerimanya.

“Masalahnya ialah kami tidak berunding dengan sebuah kelab bola sepak,” kata Ferguson.

Penasihat Tevez, Kia Joorabchian yang membawa Tevez ke England pada 2006 menerusi satu perpindahan pinjaman kontroversi ke West Ham, mengetuai rundingan itu.

“Memang benar Gill datang untuk menemui Joorabchian dan mereka telah mengadakan satu pertemuan yang mesra,” kata satu kenyataan daripada penasihat Tevez sebagai menjawab temu bual Ferguson selepas perlawanan.

“Ia tidak benar sama sekali bahawa Manchester United membuat satu tawaran untuk cuba memujuk Carlos Tevez kekal di kelab itu.

“Pada 2007, Manchester United bersetuju dengan satu pinjaman dua tahun bagi Tevez dan pada masa yang sama, bersetuju dengan syarat bahawa ia akan menjadikan perpindahan itu tetap. Mereka tidak mengambil pilihan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails