Tuesday, May 12, 2009

Malaysia nyala harapan layak ke separuh akhir


FAIRUZIZUAN dan Pei Tty beraksi mantap tewaskan gandingan Hong Kong, Hadikusumo-Hoi Wah 21-17, 21-16 dalam masa 31 minit dalam saingan Kumpulan 1A Piala Sudirman, malam tadi.


KECEDERAAN menimpa pemain wanita negara, Julia Wong Pei Xian, sedikit menjejaskan kegembiraan melakar kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong dalam saingan Kumpulan 1A Piala Sudirman, malam tadi.

Julia bernasib malang apabila, dalam gerak pantas untuk cuba membalas pukulan Yip Pui Yin pada ketika mendahului 17-16 di set pertama, mendarat tidak stabil untuk bingkas mengalami kecederaan di lutut kirinya.

“Kecederaannya nampak agak serius dan Julia terpaksa dikejarkan ke hospital untuk ujian MRI. Dia tidak boleh berjalan.

“Saya tidak fikir dia mampu untuk diturunkan dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Kami juga tidak mahu mengambil risiko sebegitu,” kata ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Namun di sebalik kecewa Julia, pemain lain tidak menghampakan untuk kembali menghidupkan harapan negara untuk cuba melayakkan diri ke separuh akhir buat julung kalinya.

Ia bermula apabila gandingan Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty tidak berdepan kesukaran untuk menundukkan kombinasi Yohan Hadikusumo Wiratama-Chau Hoi Wah 21-17, 21-16 dalam masa 31 minit.

Lee Chong Wei menang 21-16, 21-8 ke atas Hu Yun sebelum Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjamin kemenangan dengan mata ketiga skuad negara selepas menundukkan Albertus Susanto Njoto-Hui Wai Ho 21-12, 21-19.

Selepas kecederaan Julia memberikan Hong Kong mata pertama, Pei Tty-Chin Eei Hui pula bangkit daripada kekalahan ketika menentang Korea Selatan, kelmarin apabila menundukkan Chan Tsz Ka-Wang Chen 20-22, 21-10, 21-15.

Malaysia kini perlu menang pertemuan terakhir kumpulan menentang Denmark, Khamis ini, untuk menepati sasaran ke separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails