Monday, May 18, 2009

Barcelona juara Liga Sepanyol manakala Inter juara Serie A Italil



Penyokong-PENYOKONG Barcelona meraikan kejayaan pasukan mereka menjuarai Liga Sepanyol di jalan-jalan utama bandar raya itu selepas mengetahui kekalahan Real Madrid 2-3 kepada Villarreal di gelanggang lawan, kelmarin. - AP

Pasukan sensasi musim ini, Barcelona menjuarai Liga Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, kelmarin.

Kelab yang digelar Catalan itu memiliki kelebihan lapan mata berbanding pasukan tempat kedua liga, Real Madrid, malah menjadi sebuah pasukan yang seolah-olah tidak boleh ditumpaskan musim ini.

Barcelona dinobatkan sebagai juara liga apabila pesaing terdekatnya, Real tumpas 2-3 kepada Villarreal di gelanggang lawan, kelmarin.

Robert Pires, Ruben 'Cani' Gracia dan Joan Capdevila masing-masing menjadi pemusnah harapan Real apabila membantu Villarreal menumbangkan gergasi Sepanyol tersebut.

Dua gol pasukan juara tahun lalu itu disumbangkan oleh Rafael van der Vaart dan Gonzalo Higuain.

Ia merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut Real di persaingan liga, sekali gus menyebabkan kelab itu menderita tanpa memenangi sebarang trofi buat kali pertama sejak musim 2005-06.

"Persaingan liga ini adalah pertandingan yang sangat adil dan menjadi satu ujian kepada tahap konsisten sesebuah pasukan.

"Saya berpendapat, Barcelona layak untuk memenangi piala ini (liga Sepanyol)," kata jurulatih Real Madrid, Juande Ramos.

Pertemuan Barcelona seterusnya di peringkat liga adalah bertemu Mallorca di gelanggang lawan dan mengumpul 86 mata ketika ini.

Catalan mempunyai baki pertemuan liga sebanyak tiga perlawanan, manakala Real mencatat 78 mata dan memiliki baki dua perlawanan yang akan diteruskan.

Gelaran juara liga kali ke-19 dicapai oleh Barcelona itu merupakan kejayaan cemerlang yang dihasilkan oleh jurulatih berusia 38 tahun, Pep Guardiola.

Ia merupakan satu pencapaian hebat buat Guardiola kerana tahun ini merupakan musim pertama bekas pemain tengah Barcelona itu memimpin pasukan terkemuka Sepanyol tersebut.

Malah, Presiden Barcelona, Joan Laporta memuji pencapaian cemerlang Catalan menerusi satu temu bual bersama syarikat televisyen kelab tersebut.

"Realiti telah melebihi segala jangkaan. Dalam terma-terma pencapaian baik sukan bola sepak, ia adalah salah satu daripada musim terbaik dalam sejarah bola sepak Barcelona.

"Semua terma kejayaan itu berdasarkan kepada tahap permainan, kejayaan merangkul gelaran dan kecemerlangan kelab secara umum," kata Laporta.




Inter juara Serie A Itali

Inter Milan meraih gelaran juara Serie A kali keempat berturut-turut meskipun tidak beraksi selepas musuh tradisi kelab itu, AC Milan tewas 1-2 kepada Udinese di tempat lawan, kelmarin.

Hanya Milan yang menduduki tempat kedua liga sahaja mampu menghalang Inter daripada merangkul trofi tersebut musim ini.

Inter muncul juara ekoran mempunyai kelebihan tujuh mata berbanding Milan dan pada masa yang sama, pasukan yang digelar Rossonero itu hanya memiliki dua perlawanan untuk diteruskan musim ini.

Kekalahan Milan pada pertemuan kelmarin membolehkan bos Inter, Jose Mourinho memenangi trofi kejuaraan liga pada penampilan pertama bersama kelab barunya itu.

Bekas pengurus Chelsea itu hanya menyertai persaingan bola sepak Itali, Jun tahun lalu.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Mourinho memenangi gelaran kelima dalam tempoh tujuh musim ketika mengendalikan tiga kelab berbeza di tiga buah negara berbeza.

Milan melalui pertemuan, kelmarin di Udinese dengan mengetahui bahawa kelab itu harus mencatat kemenangan bagi menghalang Inter daripada merangkul kejuaraan tersebut.

Namun begitu, anak didik Carlo Ancelotti sekadar mempamerkan persembahan kurang meyakinkan dan permainan kelmarin menjadi salah satu aksi terburuk pasukan itu musim ini.

Persembahan babak pertama pertemuan Milan dan Udinese berlangsung suram apabila beberapa peluang menjaringkan gol dipersiakan oleh kedua-dua pasukan.

Namun, Udinese akhirnya membuka jaringan gol pertemuan tersebut menerusi sepakan penalti. Antonio Floro Flores berjaya melepasi benteng pertahanan Milan dan memasuki kawasan penalti bagi menyambut hantaran terus yang dilakukan oleh Geatano D'Agostino.

Bagaimanapun, pemain veteran pertahanan Milan, Paolo Maldini cuba menghalang tindakan penyudah pemain Udinese itu dan menyebabkannya terjatuh ketika cuba berebut bola daripada penjaga gol Milan, Dida.

Maldini yang hanya mempunyai dua perlawanan lagi bersama Milan sebelum bersara dilihat bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman buang padang dan sekadar menerima kad kuning.

Biarpun begitu, pasukan pelawat dihukum apabila D'Agostino dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan menyaksikan bola menuju tinggi ke arah kanan gawang.

Empat minit selepas perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua, Udinese menggandakan kelebihan dengan menghasilkan jaringan kedua menerusi jaringan Christian Zapata.

Milan bagaimanapun memperoleh gol sagu hati pada masa kecederaan menerusi tandukan yang dilakukan oleh Massimo Ambrosini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails