Monday, May 11, 2009

Pakistan tempah tiket separuh akhir

JARINGAN kemenangan menerusi pukulan sudut penalti, Sohail Abbas membolehkan Pakistan mengatasi seteru utamanya, India 3-2 di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, semalam untuk mengesahkan laluan ke separuh akhir Kejohanan Hoki Asia kelapan.

Apapun hujan lebat memaksa penganjur menghentikan perlawanan kira-kira 45 minit pada minit ke-46 namun ia tidak menghalang anak didik Shahid Ali Khan mempamerkan aksi permainan agresif menyaingi India yang juga juara bertahan kejohanan.

Kemenangan itu membolehkan Pakistan mengutip empat mata selepas dua perlawanan, sementara India kini perlu mengatasi China pada perlawanan terakhirnya, esok untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

India bermula dengan baik apabila hanya memerlukan 16 minit untuk membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti, Prabhjot Singh, tetapi Pakistan bingkas menyamakan kedudukan menerusi jaringan Haseem Khan, minit ke-32 untuk memastikan kedudukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Pakistan terus meningkatkan tempo permainan pada babak kedua dan berjaya menambah jaringan kedua sekali lagi menerusi Haseem pada minit ke-36, namun kelebihan satu gol Pakistan hanya bertahan 10 minit apabila India kembali menyamakan kedudukan menerusi Rajpal Singh.

Jaringan itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat Pakistan yang terus memburu jaringan kemenangan apabila keringat mereka berhasil menerusi jaringan Sohail, minit ke-54 mengesahkan kemenangan berharga pasukannya sambil India sekadar dapat menggigit jari.

Apapun, India sudah pun layak ke Piala Dunia 2010 selaku tuan rumah tetapi kekalahan ini harus menyentap status mereka sebagai juara bertahan bagi edisi kali ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails