Monday, May 11, 2009

Beng Hai enggan ambil mudah jumpa Bangladesh



PENYERANG India Rajpal Singh terjatuh ketika cuba menghampiri gol Pakistan pada saingan Piala Asia Kumpulan B di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, semalam. Pakistan menang 3-2.

ANDAI bersandarkan kepada pengakuan jurulatih Bangladesh, Peter Rach Gerhad bahawa pasukannya adalah barisan lemah, skuad hoki negara seharusnya tidak berdepan masalah menewaskan lawan berkenaan pada saingan Kumpulan A Piala Asia di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, hari ini.

Pengendali berbangsa Jerman itu secara terus terang mengakui pasukannya berada pada tahap lebih rendah berbanding pencabar sekumpulan itu yang beraksi pada edisi kelapan kali dan hanya berharap dapat mengurangkan gol yang membolosi gawang mereka apabila menentang Malaysia nanti.

Namun, jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai (gambar) enggan mengambil mudah tentangan daripada Bangladesh, sebaliknya mengingatkan pemain agar tidak memandang remeh pihak lawan, sebaliknya menuntut aksi terbaik untuk menyalakan harapan layak ke separuh akhir.

“Saya tetap beranggapan pemain kita harus lebih berwaspada berdepan Bangladesh dan menegur mereka beraksi seperti dirancang dan beri penghormatan kepada lawan.


“Memang jumlah jaringan mungkin akan menjadi perbezaan dalam kumpulan kami, tetapi saya tetap percaya kami harus memberi sedikit rasa hormat kepada Bangladesh,” kata Beng Hai ketika ditemui semalam.


Dia juga menegaskan tidak mahu terlalu bergantung harapan kepada keputusan perlawanan Jepun-Korea Selatan, hari ini untuk menentukan peluang skuad negara ke separuh akhir, sebaliknya adalah lebih baik nasib mereka ditentukan menerusi pungutan mata pasukannya.

Sementara itu, Bangladesh akur pasukannya tidak mampu menyaingi pasukan lain di kejohanan kali ini apabila menyifatkan kekalahan dibelasah 5-0 oleh Jepun, kelmarin adalah satu keputusan baik buat pasukannya.

“Kami percaya Malaysia bersemangat tinggi dan harapan kami adalah dapat mengurangkan jumlah jaringan membolosi gawang kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails