Monday, May 11, 2009

FIFA turun padang kongsi ilmu




PETALING JAYA – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengambil inisiatif berjumpa dengan ahli gabungan di seluruh dunia termasuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi bertukar pendapat dan menerangkan polisi baru.

Pengarah Pembangunannya, Thierry Regenass berkata, perjumpaan bersama semua setiausaha agung persatuan bola sepak negara di rantau Asia adalah jalan terbaik untuk mempertingkatkan lagi tahap semua ahli gabungannya.

“Perjumpaan seperti mana yang dijalankan hari ini (semalam) akan memberi peluang untuk FIFA berdialog dan berkongsi maklumat bersama semua persatuan bola sepak di seluruh dunia termasuk di rantau ini,” katanya di Seminar Setiausaha Agung dan Pengarah Teknikal di Hotel Hilton di sini semalam.

Jelasnya, peluang untuk bertemu dengan ahli gabungan ini juga membolehkan FIFA menyampaikan program baru.

“Ini adalah kali pertama kami (FIFA) berjumpa dengan hampir kesemua setiausaha agung persatuan bola sepak di Asia.

“Seminar seperti ini sekurang-kurangnya perlu diadakan sekali dalam setahun dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara FIFA dan AFC,” kata Regenass.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sebanyak 24 buah negara di Asia menyertai seminar ini yang menekankan tentang bagaimana untuk menyelaraskan persatuan bola sepak negara dengan lebih berkesan.

“Seminar seperti ini juga akan menerangkan tentang polisi baru dan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh FIFA kepada semua ahli gabungannya,” katanya.

Ditanya mengenai setiausaha agung persatuan bola sepak negara Asia lain yang tidak hadir, Azzuddin berkata, ia tidak ada kena mengena dengan perebutan kerusi jawatankuasa eksekutif dalam Kongres AFC yang dilihat terpecah kepada dua kem.

“Seminar ini telah dirancang awal iaitu sejak dua bulan lalu dan sukar untuk kita memastikan semua 46 ahli AFC hadir dalam satu masa kerana ia akan menjejaskan kelancaran seminar ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails