Tuesday, May 12, 2009

Gerrard masih mengharap MU tercicir

Kapten Liverpool, Steven Gerrard masih mahu berpaut kepada kemungkinan Manchester United tercicir mata ketika menentang Wigan dan Arsenal untuk mengekalkan pasukannya dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas kemenangan 2-0 United ke atas Manchester City, kelmarin, juara bertahan itu hanya perlu empat mata daripada dua perlawanan pada esok dan Sabtu ini untuk menyamai rekod pencapaian 18 gelaran liga milik Liverpool.

Barisan diketuai Gerrard, yang ketinggalan tiga mata selepas beraksi lebih satu perlawanan, tidak akan beraksi sehingga Ahad ini apabila berkunjung ke West Bromwich Albion.

“Memang sukar untuk melihat United, terutama ketika mereka beraksi baik dan memenangi perlawanan. Saya akan lihat bagaimana keadaannya, Rabu ini (esok). Kami mahu memenangi liga.

“United kini dalam keadaan lebih baik, mereka adalah pilihan. Tetapi segalanya masih berkemungkinan. Selagi ada kemungkinan, saya akan terus berharap betapa United akan keciciran mata.”

Kemampuan mengekalkan tekanan terhadap United dan kemampuan Liverpool mendominasi persada liga untuk tempoh panjang sebelumnya turut memberikan keyakinan kepadanya bahawa kemarau sekian lama, kini sudah selama 19 tahun, akan berakhir tidak lama lagi.

Cuma, akan ada penyokong yang tidak mampu menyingkir persoalan ‘apa yang sebenarnya boleh berlaku’ bermula dengan jika perbincangan kontrak Rafa Benitez selesai segera tanpa pertikaian secara terbuka.

Ataupun jika pasukan tidak diikat seri 11 kali? ataupun jika Gerrard dan Fernando Torres tidak terlalu kerap tercedera, untuk hanya 12 kali bergandingan musim ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails