Wednesday, May 13, 2009

AS$109j untuk Ronaldo



Cristiano Ronaldo dan Manchester United dilaporkan sudah mencapai kata sepakat untuk menjual pemain dari Portugal itu kepada Real Madrid selepas bulan Julai ini.

Di bawah perjanjian yang sudah ditandatangani itu, United bersetuju melepaskan Ronaldo membabitkan bayaran perpindahan minimum RM383 juta (AS$109 juta).

Perpindahan pemain sayap Portugal itu bakal mengatasi perpindahan rekod dunia sebanyak AS$65 juta (RM212.3 juta) yang dibuat ke atas Zinedine Zidane apabila berpindah ke Real dari Juventus pada tahun 2001.

Menurut akhbar paling laris di sini, El Pais, bekas presiden Real, Florentino Perez dijangka akan mengumumkan perpindahan Ronaldo ke kelab itu, esok.

Ia sebagai antara kempennya untuk merebut kembali jawatan tersebut pada pemilihan Jun ini.

Perez juga dilaporkan sudah pun mengadakan perbincangan dengan agen Ronaldo, Jorge Mendes tentang jumlah yang akan dibayar.

Musim lalu, pemain terbaik dunia dari Portugal itu menghasilkan 42 gol dan berjaya membantu United menjuarai Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.

Akhbar harian sukan Marca sebelum ini melaporkan Real bersedia membuka bidaan dengan satu tawaran 80 juta euro (RM405 juta) bagi kontrak lima tahun kepada Ronaldo dan akan menggaji pemain tersebut sebanyak 9.5 juta euro (RM48.17 juta) semusim.

Ronaldo yang merupakan peminat setia pasukan Real pada zaman kanak-kanak pernah dipilih sebagai pemain Terbaik England dua musim berturut-turut.

Dalam pada itu, El Pais memetik Perez turut bercadang untuk mendapatkan khidmat Kaka dari AC Milan.

Bulan lalu, ketika bertiup kencang khabar angin tentang perpindahannya ke Real, Ronaldo yang masih mempunyai kontrak sehingga 2012 berkata, dia gembira bersama United.

Begitu juga dengan Kaka yang turut menegaskan bahawa dia ingin kekal bersama AC Milan.

Perez yang merupakan presiden Real antara tahun 2000 dan 2006 pernah mengumpulkan ramai pemain ternama dalam kelab itu seperti Luis Figo, Zinedine Zidane dan David Beckham.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails