Monday, May 11, 2009

Ini adalah proses pembelajaran - Rajagobal

SHAH ALAM - Baru pertama kali turun beraksi bukanlah ukuran buat skuad bawah 23 negara yang dibentuk K. Rajagobal sebaliknya menganggap skuad masa depan ini masih perlu banyak berlajar untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Bekas pengendali Selangor dan Kelantan itu yang turut melatih skuad senior negara, berulang kali menyuarakan kenyataannya bahawa skuad bawah 23 masih dalam proses pembelajaran walaupun ada di antara mereka yang beraksi dengan pasukan gergasi dalam Liga Malaysia.

"Ini adalah proses pembelajaran! Ini adalah proses pembelajaran! Kita perlu menempuhi lebih banyak masa dan perlawanan jika mahu melihat skuad ini melakarkan kejayaan," katanya selepas perlawanan persahabatan menentang Selangor kelmarin.

Jelasnya, semangat yang ditunjukkan oleh pemainnya yang buat pertama kali beraksi menampakkan tanda positif dengan masing-masing bekerja keras dalam perlawanan itu.

"Saya mahukan mereka mempamerkan permainan dan semangat seperti ini pada perlawanan lain di masa akan datang kerana ini adalah skuad masa depan.

"Mereka yang datang menyaksikan perlawanan ini sudah tentu segera merasakan terdapat sesuatu yang positif dalam skuad ini kerana pemain saya masih lagi muda," katanya.

Katanya, selain pemain dari pasukan Liga Super dan Liga Perdana terdapat sembilan pemain dari skuad Harimau Muda yang disenaraikan Rajagobal.

"Ini menunjukkan kita mempunyai asas yang kukuh dengan kehadiran pemain muda terutama dari pasukan Harimau Muda secara tidak langsung mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan pemain.

"Ia masih terlalu awal untuk membuat andaian sedangkan Guus Hiddink juga mengambil masa membentuk pasukan mantap skuad kebangsaan Korea Selatan sehingga pernah disuruh meletak jawatan.

"Dari kekalahan kita boleh belajar kelemahan yang dimiliki dan cuba untuk memperbaikinya," katanya selepas melihat skuadnya berjaya mengikat pasukan Gergasi Merah 0-0.

Ditanya mengenai tindakannya meletakkan pemain sayap Selangor, Amirulhadi Zainal di pertahanan kanan, Rajagobal berkata, dia hanya memiliki seorang sahaja pertahanan kanan iaitu Mohd. Sabree Abu manakala yang lain pula cedera.

"Apa salahnya, ini adalah proses pembelajaran buatnya (Amirulhadi) untuk belajar cara bertahan apabila dia diletakkan kembali ke posisi asal menentang pasukan yang kuat.

"Sama juga seperti saya menukarkan Ahmad Fakri Saarani dari posisi penyerang ke sayap kanan kerana dia memiliki kelajuan dan Shahurain Abu Samah ke bahagian tengah," katanya.

Rajagobal berkata, ia adalah satu ujian dalam melahirkan pemain yang serba boleh sama seperti pemain Manchester United, John O'Shea yang mampu beraksi di pelbagai posisi.

Selepas ini skuad bawah 23 akan mengadakan dua perlawanan ujian di Singapura pada bulan ini menentang skuad bawah 23 Singapura dan satu pasukan dari Liga Singapura.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails