Tuesday, May 12, 2009

Malaysia belasah Bangladesh 7-1

Skuad hoki negara mencerahkan peluang untuk ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia Ke-8 malam tadi apabila memperoleh kemenangan besar dengan menewaskan Bangladesh 7-1.

Ternyata kesebelasan pemain Malaysia berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menguasai perlawanan seawal minit babak pertama bermula di Stadium Wisma Belia semalam.

Walaupun hujan, pemain negara cukup agresif apabila dengan mudah menyumbat empat gol pada separuh pertama perlawanan sebelum diikuti tiga gol pada separuh masa kedua.

Lebih menghiburkan apabila melihat telatah para penyokong negara yang turut melaungkan sokongan buat pasukan Malaysia ala Raja Lawak Nabil iaitu 'Apa yang penting, kerjasama!'.

Pada perlawanan itu, gol pertama pasukan negara disempurnakan oleh pemain Mohd. Shahrun Nabil Abdullah sejurus 4 minit perlawanan bermula.

Gol pembukaan itu membangkitkan semangat pemain Malaysia yang lain untuk terus mantap menguasai permainan dan hasilnya, Azlan Misron menjaringkan gol pada minit ke-13.

Pasukan Malaysia terus garang mendahului pasukan lawan dengan pemain negara Chua Boon Huat menjaringkan gol ketiga buat negara pada minit ke-15 disusuli Mohd. Amin Rahim pada minit ke-19.

Bagaimanapun, laungan 'Malaysia Boleh' yang hangat diberikan penyokong negara terhenti seketika apabila Bangladesh menyumbatkan gol tunggal pada minit ke-28 melalui Islam Md. Zahida.

Namun, gol pasukan lawan itu tidak mengugat semangat pemain negara untuk bangkit menguasai perlawanan dan ia terbukti apabila pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menambah jaringan negara pada minit ke-39 dan 44.

Beberapa minit sebelum wisel penamat berbunyi, penyokong Malaysia sekali lagi dihadiahkan gol apabila pemain Malaysia, Ismail Abu menjaringkan gol pada minit ke-50.

Namun, di sebalik kemenangan bergaya malam ini, keputusan sebenar sama ada pasukan negara akan melangkah ke separuh akhir hanya diketahui selepas menentang pasukan Jepun di stadium yang sama 7 malam hari ini.

Jurulatih pasukan hoki negara, Tai Beng Hai berkata, walaupun Malaysia mencatat kemenangan cukup membanggakan malam tadi namun para pemain tidak boleh leka kerana mereka akan mengharungi perlawanan yang lebih penting hari ini.

''Kita tahu ranking Jepun lebih baik, tetapi dalam setiap perlawanan kita juga mesti mengutamakan kemenangan dari sekadar berfikir untuk seri. Saya meminta supaya setiap pemain bermain dengan seratus peratus kemampuan mereka esok dan kita perlu memikirkan bagaimana untuk mencipta kemenangan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails