Saturday, October 3, 2009

2 Fernando, Davydenko, Soderling ke separuh akhir



Keempat-empat pemain pilihan Nikolay Davydenko, Fernando Verdasco, Robin Soderling dan Fernando Gonzalez menepati ramalan selepas menang dalam pertembungan suku akhir Kejohanan ATP Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil semalam. Saingan separuh akhir yang berlangsung hari ini bakal menemukan pilihan pertama kejohanan, Davydenko dan pemain pilihan ketiga, Soderling sementara Gonzalez (keempat) dan Verdasco (kedua) akan berentap sesama sendiri.
Verdasco yang merupakan pemain pilihan kesembilan terpaksa bergelut untuk menewaskan pemain Perancis, Richard Gasquet sebelum mencatat kemenangan straight set 7-5, 6-4 dalam tempoh satu jam 31 minit.
Perlawanan tersebut yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlangsung dalam suasana yang mendebarkan apabila kedua-dua pemain saling mengejar mata terutama di set pertama.
Menurut pemain Sepanyol itu, semasa berada di kedudukan tie-break dia tidak tahu apa yang berlaku sehingga memaksa perlawanan berlangsung agak lama tetapi ketika itu dia mula sedar bahawa Gasquet sudah hilang arah.
“Saya juga yakin akan memenangi perlawanan esok menentang (Fernando) Gonzalez tetapi semuanya bergantung kepada keadaan di gelanggang,” katanya.
Davydenko yang bertemu dengan seorang lagi pemain Perancis, Gael Monfils mencatat kemenangan 6-3, 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 13 minit itu, bagaimanapun pada awal saingan set pertama ia terhenti selama lima minit berikutan seorang peminat pengsan di tempat duduk penonton.
Katanya, walaupun tidak meletakkan sebarang matlamat dalam kejohanan yang buat pertama kali diadakan di Malaysia ini, dia tetap mengharapkan aksi yang mantap dalam saingan separuh hari ini.
Set pertama menyaksikan Monfils gagal memberi tentangan sengit selepas ketinggalan 3-0 dan sering melakukan kesilapan walaupun berjaya membuat tiga pukulan ace.
Dalam set kedua Davydenko ketinggalan 1-3 kepada Monfils namun pengalaman dan ketenangannya di tengah gelanggang berjaya mencatat kemenangan 6-3 hasil pukulan voli rendah deras.
Sebelum itu pemain pilihan ketiga kejohanan, Robin Soderling tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir selepas menjinakkan Tomas Berdych dari Republik Czech 6-2, 6-2.
Soderling hanya mengambil masa satu jam empat minit walaupun agak bergelut pada set pertama dan mengakui tentangan yang diberikan oleh Berdych tidak boleh diambil kiri dari segi kutipan mata.
Menurutnya, Berdych merupakan seorang pemain yang hebat walaupun dia berjaya mencatat kemenangan dalam kedua-dua set 6-2.
“Saya agak bergelut pada permainan set pertama berikutan Berdych mampu membalas pukulan dengan baik,” katanya.
Satu lagi perlawanan menyaksikan pemain Chile, Fernando Gonzalez menewaskan Mikhail Youzhny dari Rusia 6-3, 6-4.
Sementara itu seorang pemenang bertuah, Lynn Azura Mat Shama berjaya membawa pulang sebuah kereta Proton Satria Neo selepas menerima bola bertuah yang dipukul oleh Verdasco kepada penonton.
Hadiah yang berbentuk replika kunci telah disampaikan oleh Najib.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails