Sunday, October 11, 2009

Segerakan Revolusi 2010


Jikapun sesuatu negara bergolak dihujani mortar dan misil tanpa mata, masih ada keberanian dalam diri 22 anak muda di tengah lapangan rumput, memainkan perang mereka sendiri; untuk memenangi suatu pertarungan bolasepak. Tidak terhad kepada itu, berduyun-duyun lagi menyahut panggilan untuk mencetus semangat pasukan-pasukan mereka; mengambil kesempatan untuk terasing seketika dari pertempuran di luar sana, mengecapi keamanan dan perpaduan berusia 90 minit. Ajaibnya potensi sebiji bola.

Di tanahair ini, dahulunya bolasepak suatu wadah penyatu. Anak-anak muda berbilang agama, bangsa dan bahasa bersama-sama di dalam satu pasukan memperjuangkan satu agenda: menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Pernah kita di landasan yang betul itu. Namun, entah di mana silapnya. Kini dengan rahmat segala kepelbagaian yang sedia ada, dan gema laungan gagasan 1Negarabangsa, masih gagal kita memanfaatkan semuanya untuk menuju tujuan itu: menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Menjadi antara yang terawal menyoroti denai tradisi bolasepak, tanahair ini berbangga mewarisi pertandingan kepialaan tertua di rantau ini. Namun, prestij pertandingan dan kemegahan pasukan-pasukan kita sudah lama dibiar tercalar.

Manakan tidak? Jadual perlawanan tidak pernah rapi, bahkan struktur tetap pun tiada pernah wujud. Penggulungan pasukan dan kelab amalan biasa. Profesional bolasepak dan seisi keluarganya berbulan-bulan mengikat perut; dan persoalan rasuah tidak terungkit? Liga-liga daerah dan pembangunan akar umbi dibiarkan sepi. Politik dalaman dan kepartian mengatasi segala. Institusi pentadbiran tidak teringin bermuhasabah, penambahbaikan tiada, rasa hormat pun pudar selari dengannya. Media menenggelamkan berita kita dan makin selesa mensensasikan ceritera dari ceruk sana. Peminat tidak lagi berselera Malaysia tetapi bermenukan Madrid, Milan dan Manchester semata.

Sekiranya dahulu stadia dipenuhi pendokong-pendokong aspirasi nusa untuk menjadi kuasa bolasepak sekurang-kurangnya di rantau tenggara Asia, kini gelanggang-gelanggang keramat sunyi dan lengang. Tatkala liga tempatan berhempas pulas menjaja tiket RM10 minggu ke minggu, ramai yang berembun bersengkang mata di warung-warung untuk mencari ‘bolasepak yang berbaloi ditonton’. Ramai lagi yang berbayar ‘tiket bulanan’ Old Trafford, Nou Camp dan San Siro melalui langganan rangkaian kabel satelit. Tumpuan terpaling ke liga-liga kapitalis Eropah yang terang-terangan menaguk yang jernih dari kekeruhan di wilayah ini. Wang kita berguni-guni dikaut ke benua sana di bawah sedar kita. Terus menerus penjajahan diskrit membelenggu kita!

Sekiranya zaman kejatuhan itu pasti tiba dan bercita-cita kita untuk tidak mahu bangkit lagi dan menyahkan bolasepak dari bumi ini, teruskanlah semua ini. Tetapi jangan pula lupa, silakan menuding ke diri sendiri kelak! Kamu, aku, aku dan aku sama sahaja!

Jelik sudah dengan semua amarah dan gundah kecewa ini. Kami mahu sedar. Kami mahu kebangkitan. Kami mahu kembali melihat yang berkulit sawo matang, kuning langsat dan hitam manis bersatu mendabik dada berdendang anthem nasional menjadi sumber semangat pejuang-pejuang kita di tengah gelanggang beradu tenaga, kemahiran dan ketangkasan dengan musuh-musuh tersohor bolasepak. Kami mahu bangun bersama-sama! Kami mahu kesungguhan. Kami mahu kemenangan. Kamu mahu kejuaraan. Kami mahu revolusi!

Jikapun di luar ruang lingkup yang ada kini, biarpun songsang daripada arus perdana ini, kami mahu kembali kepada keajaiban itu. Keajaiban potensi sebiji bola.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails