Sunday, October 11, 2009

Selangor Sahkan Tempatnya Di Suku Akhir.



Selangor hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang PDRM di Stadium Selayang malam tadi namun keputusan itu sudah cukup mengesahkan tempatnya di peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia.

Rudie Ramli memberikan kelebihan awal buat Selangor apabila merembat masuk dari jarak dekat pada minit ke-12 namun kemudiannya terpaku apabila ketinggalan menerusi dua jaringan PDRM menerusi Hairul Izwan Abdullah (minit ke-16) dan Abdul Rajal Jalil (minit ke-37).

Selangor yang meningkatkan asakan sebaik babak kedua bermula, berjaya menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukannya, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-54.

Pasukan Perlis pula hampir menerima kejutan di Stadium Darul Makmur namun jaringan minit ke-85 oleh Azi Shahril Azmi berjaya memadam kelebihan milik Pahang hasil jaringan oleh Shahrizam Salleh.

Perlis juga terlepas peluang menambah gol apabila sepakan penalti yang diperolehinya gagal disempurnakan oleh Nizaruddin Yusof sekaligus mengikat kedua-dua pasukan dengan keputusan 1-1.

Perak juga terselamat dari menerima kekalahan kepada Kuala Lumpur apabila jaringan Razali Umar Kandasamy pada minit ke-90 membolehkan mereka membawa pulang satu mata setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Gol Kuala Lumpur dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit ke-13.



Lain-lain keputusan – Kelantan menerima kekalahan pertama apabila tewas 0-1 kepada Kedah, Kuala Muda Naza menang 3-1 ke atas Sabah, Johor FC menewaskan UPB MyTeam 4-2, KL Plus membelasah Melaka 4-0, Sarawak tunduk 0-1 kepada Negeri Sembilan, Terengganu mengalahkan Johor 4-2 dan Pulau Pinang menang tipis 3-2 ke atas Tentera.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails