SELANGOR tetap bersemangat menghadapi Sabah di Stadium Shah Alam malam ini bagi mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2009 lebih awal.
Malam kelmarin, Selangor tewas 0-3 di tangan skuad kebangsaan Singapura pada perlawanan jemputan Piala Sultan Selangor 2009 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Bagaimanapun jurulatih Selangor, K. Devan tidak menganggap kekalahan itu melunturkan semangat pemain-pemainnya.
"Saya tak anggap moral pemain terjejas. Sebaliknya, pertemuan dengan Singapura ini sebenarnya satu kelebihan buat pemain Selangor kerana lawan kita itu merupakan skuad kebangsaan.
"Biarpun ada pemain yang tidak beraksi baik, terdapat beberapa pemain yang jarang saya turunkan telah berjaya menampilkan permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya selepas perlawanan malam kelmarin.
Ditanya adakah sentuhan penyudah Selangor yang diketuai Safee Sali sambil dibantu Rudie Ramli dan Amri Yahyah kurang berkesan kerana gagal menembusi gawang Singapura, Devan berkata, ia sebenarnya berpunca daripada keletihan.
"Bukan kita kurang kemas di depan pintu gol tetapi apabila pemain penat, mereka gagal untuk mengasak pertahanan lawan secara berterusan.
"Saya harap segalanya akan kembali seperti biasa apabila bertemu Sabah," jelas Devan.
Hanya lima pemain yang beraksi sepanjang 90 minit ketika bertemu Singapura iaitu Hamsani Ahmad, P. Gunalan, Hardi Jaafar, Amri Yahyah dan Safee Sali manakala yang lain digantikan bagi mengelakkan keletihan.
Jika Selangor berjaya menewaskan Sabah malam ini, mereka hampir pasti disahkan sebagai juara Kumpulan D dengan 12 mata, sekali gus layak secara auto- matik ke suku akhir.
Ia pasti membuka ruang buat Devan merehatkan pemain-pemain utamanya yang telah mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat.
No comments:
Post a Comment