Thursday, October 8, 2009

Maradona timbang letak jawatan


Jurulatih Argentina, Diego Maradona memberi arahan sambil diperhatikan Martin Palermo (tengah) dan Lionel Messi dalam sesi latihan di Beunos Aires, kelmarin menjelang kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Peru dan Uruguay hujung minggu ini.
Jurulatih Argentina, Diego Maradona berkata, dia menimbang untuk meletak jawatan selepas dua perlawanan terakhir kempen kelayakan Piala Dunia 2010 minggu depan menentang Peru dan Uruguay. Argentina berada dalam keadaan sangat genting kemungkinan tidak dapat beraksi dalam Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan.
Malah, kebanyakan kesalahan diletakkan di atas bahu Maradona yang gagal membentuk sebuah pasukan terbaik walaupun memiliki pemain terbaik dunia seperti bintang Barcelona, Lionel Messi dan penyerang Manchester City, Carlos Tevez.
"Saya mahu melihat sama ada saya dapat meneruskannya (jurulatih)," kata Maradona selepas sesi latihan, kelmarin menjelang perlawanan di tempat sendiri menentang Peru Sabtu ini dan Uruguay pada 14 Oktober ini.
Maradona mengandaikan dia bakal meninggalkan pasukan, walaupun Argentina antara 32 pasukan pilihan yang diramal layak dalam kejohanan itu.
Maradona memberitahu, dia merancang untuk berbincang dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Argentina, Julio Grondona, individu yang bertanggungjawab melantiknya walaupun pada hakikatnya kurang pengalaman sebagai jurulatih.
"Kesetiaan saya adalah kepada para pemain, saya mempunyai segalanya untuk diberitahu dan sama ada saya ingin meneruskan tugas atau tidak," tegas Maradona.
Argentina berada di tangga kelima peringkat kelayakan Amerika Selatan, di mana empat pasukan teratas akan mara secara automatik ke Piala Dunia.
Pasukan di tangga kelima akan beraksi di peringkat playoff menentang pasukan tempat keempat Kumpulan CONCACAF.
Brazil dan Paraguay telah menempah tempat ke Afrika Selatan. Chile berada di tangga ketiga dengan 27 mata diikuti Ecuador (23) dan Argentina (22).
Uruguay dan Venezuela (21) dan Colombia 20.
Argentina yang juga juara dunia sebanyak dua kali tewas dalam dua perlawanan kelayakan sebelum ini menentang Brazil 3-1 dan Paraguay 1-0.
Kali terakhir Argentina tidak beraksi pada Piala Dunia ialah 1970 dan gagal kali ini akan memberi tamparan hebat buat negara tersebut.
Ia merupakan satu malapetaka kepada penaja dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang mengharapkan pemain bintang Argentina bagi menarik perhatian penonton.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails