Tuesday, October 13, 2009

Elly, Zulfahmi tidak gentar


Elly Idzlianizar Ilias (di atas motor, kanan) dan Mohd. Zulfahmi Khairuddin (di atas motor, kiri) bergambar bersama krew pasukan AirAsia Malaysia 125cc MotoGP di Sepang, semalam.

Bakal beraksi buat kali pertama dalam Grand Prix Motosikal (MotoGP) bukan alasan untuk Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd. Zulfahmi Khairuddin takut untuk bersaing dengan pelumba antarabangsa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 25 Oktober ini. Selepas berjaya dipilih sebagai pelumba wildcard negara dengan menyertai pasukan AirAsia Malaysia 125cc MotoGP, kedua-dua pelumba yang sering kali menghiasi saingan perlumbaan tempatan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) melaungkan tekad mahu beraksi cemerlang dan menunjukkan kemampuan sebenar.
Menurut Zulfahmi, 18, kekurangan pengalaman dan teknik tunggangan terbaik berbanding pelumba lain bukan satu masalah buatnya untuk memberi saingan hebat.
"Saya akan memberi persembahan 100 peratus dan sasaran pertama saya ialah melepasi saingan peringkat ujian masa terlebih dahulu," katanya yang ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pelumba Wildcard SIC semalam.
Jelasnya, selepas berjaya melepasi peringkat ujian masa, fokusnya bakal terarah kepada usaha untuk menghabiskan perlumbaan dalam kategori 125cc itu.
"Saya juga meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di kalangan 20 pelumba terbaik pada perlumbaan tersebut.
"Setakat ini program latihan diteruskan seperti biasa dan tiada masalah besar buat saya cuma apa yang perlu saya lakukan ialah memperbaiki teknik mengendalikan jentera Yamaha tersebut," katanya yang mencatat masa terbaik di SIC dengan 2 minit 20 saat.
Bagi Elly pula, selain meletakkan sasaran menamatkan saingan dia juga bercita-cita untuk menyumbang satu mata buat pasukannya.
"Inilah peluang untuk saya menunjukkan kehebatan beraksi di gelanggang sendiri dan saya yakin boleh memberi saingan kepada mereka.
"Apa yang perlu saya lakukan ialah memahami sepenuhnya teknik dan keadaan semasa perlumbaan sebenar," kata pelumba berusia 25 tahun itu.
Tambahnya, dia akan cuba untuk memperbaiki tahap kecergasannya dan memberi fokus ketika awal hingga tamat perlumbaan.
Sebelum ini pelumba negara yang pernah beraksi dalam kelas 250cc selama tiga musim (2000-2002) bersama pasukan Petronas Sprinta TVK ialah Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.
Elly juga terpaksa mengorbankan aksinya pada cabaran pusingan ke-5 ARRC yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China pada 16-18 Oktober ini.
Dia kini berada pada kedudukan ke-18 dengan mengumpul 24 mata dan peluang untuknya mencabar mahkota Underbone 115cc juara juga cukup tipis.
Sementara itu, usaha AirAsia dalam memartabatkan sukan permotoran di Malaysia berterusan dengan kemunculan pasukan AirAsia Malaysia 125cc MotoGP dengan tajaan sepenuhnya bagi Elly dan Mohd. Zulfahmi.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes, mereka sangat berbangga menyokong wakil tempatan beraksi dalam MotoGP.
"Penajaan kami dalam pasukan ini seiring dengan polisi AirAsia dalam memartabatkan Malaysia dan inisiatif kepada slogan 1Malaysia.
"Ini satu perkara yang mengujakan melihat pasukan tempatan beraksi di peringkat antarabangsa, saya sangat gembira dan tidak sabar untuk melihat mereka beraksi," katanya.
Ditanya sama ada AirAsia akan menaja sebuah pasukan tetap yang membariskan pelumba tempatan, Fernandes berkata, mereka akan menimbang perkara itu.
"Mungkin terlalu awal untuk memberi jawapan ini tetapi jika mempunyai peluang, kami sedia membantu mewujudkan sebuah pasukan tempatan yang beraksi di setiap pusingan.
"Ia perlu mengambil kira pendapat dari semua pihak secara keseluruhan termasuk dari SIC dan Two Wheels Racing Sdn. Bhd.
"Apa pun, kita perlu berbangga dengan kehadiran pelumba tempatan di peringkat antarabangsa, sebelum ini kita hanya penyokong pelumba luar sahaja tetapi sekarang kita mempunyai wakil anak tempatan.
"Mereka (pelumba dan pasukan) telah bekerja keras untuk sampai ke peringkat ini, saya sangat gembira melihat dedikasi yang ditunjukkan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails