Friday, October 9, 2009

Seri memadai buat Itali






(dari kiri) Mauro Camoranesi, Gennaro Gattuso, Gianluca Zambrotta, Federico Marchetti, Nicola Legrottaglie dan Daniele De Rossi menjalani latihan bersama skuad Itali di Florence, kelmarin menjelang kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Ireland, esok.






Itali sekali lagi bergantung kepada dominasi pemain Juventus untuk mencari tempat dalam Piala Dunia 2010 apabila menentang Ireland dalam kempen kelayakan, esok. Sebanyak tujuh pemain Juventus beraksi dalam kesebelasan utama bulan lepas ketika menang 2-0 ke atas Bulgaria, aksi terbaik mereka dalam bulan tersebut yang menyaksikan skuad Azzuri kurang satu mata untuk muncul juara Kumpulan Lapan.
"Ia adalah minggu yang sangat penting selepas dua tahun beraksi dalam peringkat kelayakan.
"Ia adalah penting untuk layak Sabtu ini (esok)," kata jurulatih Itali, Marcello Lippi.
Keputusan seri membolehkan skuad Azzuri empat mata mengatasi Ireland dengan baki satu lagi perlawanan.
Kapten Itali, Fabio Cannavaro yang digantung tidak akan beraksi dalam kunjungan ke Croke Park dan akan digantikan dengan Nicola Legrottaglie, juga dari Juventus, seterusnya beraksi di pertahanan tengah bersama seorang lagi pemain kelab tersebut, Giorgio Chiellini.
Pertahanan kiri, Fabio Grosso yang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Dunia 2006 menentang Perancis, menjaringkan gol kemenangan yang cantik ketika bertemu Bulgaria sementara seorang lagi pemain Juve, Claudio Marchisio beraksi cemerlang dalam posisi yang sering memberi masalah, iaitu sayap kiri.
Penjaga gol, Gianluigi Buffon, penyerang, Vincenzo Iaquinta dan pemain sayap kanan, Mauro Camoranesi melengkapkan barisan pemain Juve dalam skuad Itali kali ini.
Selepas kegagalan sebelum ini dengan menggunakan posisi 4-3-4, Lippi menggunakan taktik diamond di bahagian tengah seterusnya mencatat kejayaan besar bulan depan dan dia dilihat akan mengekalkan formasi tersebut.
Sementara itu, Ireland masih lagi belum tewas dalam kempen kelayakan Piala Dunia setakat ini, mengatasi lima mata ke atas pasukan tempat ketiga, Bulgaria dan merupakan antara pasukan pilihan untuk merangkul tempat playoff kumpulan tersebut walaupun gagal mengulangi keputusan seri yang dicatatkan di Itali enam bulan lalu.
Peluang Ireland untuk layak ke Afrika Selatan dilihat begitu sukar apabila FIFA membuat keputusan minggu lepas bahawa undian playoff Eropah akan dilakukan mengikut kedudukan ranking tetapi Trapattoni yakin pasukannya mampu bersaing dengan pasukan lebih handal.
Ireland berkedudukan di tangga ke-38 dunia dan dijangka akan bertemu pasukan seperti Perancis dan Jerman dalam saingan playoff November ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails