Friday, October 9, 2009

Prestasi penentu ke Laos



Walaupun sudah melepasi had kelayakan ke Sukan SEA, namun ia masih tidak menjamin atlet negara akan menerima tiket automatik pada Temasya Laos, Disember ini, kata Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Walaupun hanya 13 atlet berjaya melepasi kelayakan setakat ini, namun pemilihan wakil Malaysia pada temasya itu tetap bergantung kepada prestasi semasa mereka.
Menurut Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim, pemilihan akan dilakukan berdasarkan sistem ranking yang diperkenalkan baru-baru ini dan ia akan mula dilaksanakan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang bermula di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Katanya lagi, di bawah sistem ranking, walaupun atlet tersebut sudah layak, namun pemilihan adalah berdasarkan prestasi terkini untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar berpotensi akan mendapat tempat dalam kontinjen ke Sukan SEA.
Selain menghantar atlet di bawah kategori A, KOAM juga bercadang untuk menghantar atlet ke Laos di bawah kategori B, katanya.
Sembilan atlet lelaki yang sudah melepasi had kelayakan adalah empat pejalan kaki - Teoh Boon Lim, Lo Choon Sieng, Mohd. Shahrulhaizy Abdul Rahman dan B. Thirukumaran, namun hanya dua daripadanya boleh beraksi di Laos.
Atlet lelaki lain yang sudahpun melayakkan diri adalah juara lompat tinggi Asia, Lee Hup Wei, Chan Yew Woo (maraton), Mohd. Hafizuddin Shahadan (lompat bergalah), S. Mathialagan dan M. Vadivellan (800m) manakala atlet wanita pula adalah Noraseela Khalid (400m lari berpagar), Yuan Yufang (20km jalan kaki), Tan Song Hwa (baling tukul besi) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah).
Antara atlet yang dijangka dipertimbangkan untuk disenarai dalam kategori B adalah Mohd. Jironi Riduan (1,500m), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Mohd. Hasrolnizam Yaakob (lempar cakera), Adi Aliffuddin Hussin (lontar peluru) dan Noor Amira Mohamad Nafiah (lompat kijang).
Perbelanjaan untuk atlet yang layak di bawah kategori A akan dibiayai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), manakala atlet bagi kategori B dibayar sendiri oleh persatuan tetapi akan dikembalikan oleh MOM jika mereka memenangi pingat.
Kata Karim, senarai akhir atlet yang akan beraksi di Laos hanya akan diketahui selepas tamat Terbuka Malaysia dan akan diserahkan kepada MOM pada mesyuarat rayuan, 13 Oktober ini.
“Terbuka Malaysia akan menjadi platform terakhir buat atlet untuk melayakkan diri ke Sukan SEA di Laos, Disember ini, selain Kejohanan Trek dan Padang Asia di Guangzhou, November ini,’’ kata Karim lagi.
Menurut Karim, Terbuka Malaysia juga akan menyaksikan penyertaan 160 atlet luar negara dari 12 buah negara.
Antara negara yang akan menghantar penyertaan mereka adalah Bangladesh, Brunei, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Iran, Korea Selatan, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails