Saturday, October 3, 2009

United sudah dapat sentuhan


Wayne Rooney turut memikul lebih tanggungjawab untuk United dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo yang kini bermain di Real Madrid.

Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick percaya juara bertahan bola sepak Liga Perdana England (EPL) itu sudah menemui sentuhan kerana pencabar terdekat untuk gelaran EPL mereka mulai goyah. Kedua-dua kelab, Chelsea yang kalah di Wigan hujung minggu lalu dan Liverpool yang turut tersungkur 2-0 pada saingan Liga Juara-Juara kepada Fiorentina di Itali pertengahan minggu, tampak melalui awal musim yang suram menjelang pertemuan mereka di Stamford Bridge, esok.
Namun United yang bangkit semula dari satu kekalahan mengejut 1-0 oleh Burnley, Ogos lalu akan mengumpul satu deretan kemenangan yang berlanjutan ke sembilan perlawanan jika mereka mampu menewaskan Sunderland bimbingan Steve Bruce di Old Trafford awal pagi esok.
“Ada banyak kepercayaan, keyakinan dan amanah pada satu sama lain dalam skuad kami,” kata Carrick yang menjaringkan satu gol kemenangan menakjubkan 2-1 ke atas juara Jerman, Wolfsburg pada pertengahan minggu.
“Saya fikir ia menunjukkan musim ini menerusi jumlah gol yang kami jaringkan dalam peringkat perlawanan kemudiannya. Kecergasan juga membantu tetapi perwatakan dan kekuatan mental yang kami miliki, pasti membantu,” katanya.
Satu faktor besar dalam prestasi awal United ialah Ryan Giggs yang terus cemerlang.
Dia mungkin kurang sebulan daripada hari jadinya yang ke-36 tetapi warga Wales itu menikmati peluang mengisi tempat Cristiano Ronaldo dengan satu deretan persembahan perlawanan yang berjaya.
“Dia menakjubkan,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.
“Dengan semua kecemerlangan dan pujian yang dia miliki bertahun-tahun, saya tidak tahu bagaimana anda boleh menambahnya. Dia terus menyangkal usianya,” katanya.
Wayne Rooney turut memikul lebih tanggungjawab dengan ketiadaan Ronaldo yang kini bermain di Real Madrid dan penyerang England itu menegaskan kritikan yang diterima skuad selepas kejutan Burnley tidak wajar.
“Secara peribadi saya fikir kami masuk dengan beberapa kritikan yang tidak adil pada permulaan musim kerana, walaupun kami tidak bermain sebaik yang kami mampu, kami masih memenangi perlawanan.
“Ya, kami kalah kepada Burnley tetapi kami telah menang setiap perlawanan sejak itu namun minggu ini, kami masih dikecam.
“Sudah tentu bahawa ia sentiasa akan berlaku dengan sebuah kelab sebesar ini tetapi kami bangkit semula dengan benar-benar baik, menerajui liga hujung minggu lalu dan mahu meneruskan dari sana,” katanya.
Rooney pasti gemar untuk terus bermain di samping Ronaldo tetapi percaya kerjasama mampu menebus kehilangan bintang Portugal itu.
Dia menambah: “Pastinya musim lalu, pasukan banyak berdasarkan gerakan Cristiano, tetapi tahun ini, ada sedikit lagi pemain yang menjaringkan gol hebat untuk disaksikan.”
Sunderland yang ketika ini menduduki tempat kelapan, menampilkan permulaan yang terbaik ke satu musim Liga Perdana dengan empat kemenangan daripada tujuh perlawanan pembukaan mereka.
Ia merupakan satu rekod yang menyemarakkan kesungguhan bekas benteng United, Bruce yang akan memberitahu pasukannya supaya keluar dan bermain dengan tabah di Old Trafford dan mempercayai inilah satu-satunya cara untuk mencapai satu keputusan.
“Saya fikir banyak pasukan ke sana hanya untuk mencukupkan bilangan. Mereka ke sana dan berfikir, ‘jika kami pulang dengan apa-apa, kami akan gembira,” katanya.
Bruce turut berharap dapat menggunakan perlawanan menentang United itu untuk menilai sejauh mana pencapaian sebenar pasukannya sejak dia mengambil alih pada musim panas lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails