SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) dilihat semakin memiliki kemampuan untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos, Disember depan.
Skuad kendalian K. Rajagobal itu telah mempamerkan banyak peningkatan dalam beberapa siri aksi persahabatan antarabangsa kebelakangan ini.
Daripada 18 perlawanan yang telah diharungi, skuad B-23 negara menang lapan kali, seri empat kali dan tewas enam kali.
Untuk rekod, mereka menang 3-0 ke atas skuad B-23 Singapura, Negeri Sembilan (1-0), Shanghai Zhong Bang (2-1), B-23 Indonesia (1-0), Zimbabwe (4-0 dan 1-0), Kedah (3-1) dan terbaru, menang 5-0 ke atas Lesotho.
Mereka mencatat seri dengan Selangor, Kenya, China dan Jordan, semuanya dengan keputusan 0-0.
Enam lagi perlawanan menyaksikan mereka tewas iaitu kepada Nan Chang 81 FC (2-3), Shanghai Shenhua (1-4), Manchester United (2-3 dan 0-2), Arab Saudi (1-2) dan Al-Qadisyah (0-1).
Ia tetap dianggap satu pencapaian yang baik kerana skuad muda negara sebelum ini sering mengalami kekala- han besar jika berdepan pasukan-pasukan kuat.
Namun sepanjang hampir lima bulan skuad B-23 ini dibentuk oleh Rajago- bal, mereka berjaya menampilkan satu kelainan yang jarang dapat dilihat pada skuad-skuad sebelum ini.
Lantas, peminat tempatan menaruh harapan yang tinggi kepada skuad B-23 ini untuk menamatkan kemarau 20 tahun tanpa pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA selepas kali terakhir Malaysia melakukannya pada tahun 1989.
Namun Rajagobal, 53, yang mula dilantik sebagai jurulatih skuad B-23 pada 11 April lalu dan seterusnya dilantik sebagai jurulatih kebangsaan (20 April) tidak mahu terlalu yakin untuk menjanjikan pingat emas pada Sukan SEA di Laos nanti.
Sebaliknya, Rajagobal hanya membuat satu sasaran yang agak realistik iaitu seku- rang-kurangnya layak ke pusingan separuh akhir.
"Sasaran saya ialah membawa pasukan ini layak ke separuh akhir. Kalau ditanya kepada setiap jurulatih, mereka pasti mahu pasukannya mara ke pusingan seterusnya.
"Tetapi saya kena lihat dulu undian Sukan SEA. Kita kena sedar yang Malaysia bukan pasukan pilihan," katanya.
Apa yang diperkatakan Rajagobal itu ada benarnya kerana Malaysia pasti tidak mendapat keistimewaan sebagai pasukan pili- han selepas terkandas pada peringkat kumpulan dan seterusnya gagal ke separuh akhir pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Pada masa yang sama, Rajagobal berharap tiada pemainnya mengalami kecede- raan apabila pulang beraksi bersama pasu- kan negeri dan kelab masing-masing dalam saingan Piala Malaysia 2009 yang sedang rancak berjalan sekarang.
"Saya bukannya tidak mahu meletakkan sasaran mara ke final dan muncul juara. Memang pengalaman yang kita peroleh sepanjang siri perlawanan persahabatan bertemu pasukan-pasukan kuat cukup bermakna buat pemain.
"Tetapi saya kena lihat dahulu prestasi pemain dan keadaan mereka selepas saingan Piala Malaysia berakhir nanti. Sele- pas itu barulah saya dapat bayangan tentang kesebelasan utama negara yang bakal memikul cabaran pada Sukan SEA nanti," jelas Raja- gobal.
Namun, berdasarkan 18 perlawanan persahabatan yang telah diharungi, barisan skuad B-23 negara ini seakan sudah dapat dicongak daripada kalangan 27 orang pelatih yang dipanggil.
Posisi penjaga gol utama hampir pasti menjadi milik Farizal Marlias sambil Syed Adney Syed Hussein dan Sharbinee Allawee Ramli sebagai pemain gantian.
Pertahanan tengah pasti- nya ditunjangi ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak, dan Muslim Ahmad, sementara Faizal Muhamad dan Khairul Helmi Johari sedia memikul tugas itu seandainya Aidil atau Muslim tidak dapat beraksi.
Pertahanan kanan menjadi persaingan antara Mazlizam Mohamad, Mat Sabree Abu dan Mahali Jasuli manakala pertahanan kiri bakal menjadi milik Asra- ruddin Putra Omar dan Azmi Muslim.
Posisi tengah setakat ini nampak selesa diketuai Safiq Rahim yang digandingkan sama ada dengan Amar Rohidan atau Bunyamin Umar, sementara dua lagi pemain, K. Gurusamy dan G. Mahathevan menjadi pelapis mereka.
Sayap kanan menjadi rebutan Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan setelah Khyril Muhymeen Zambri terpaksa diketepikan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut manakala sayap kiri diisi Baddrol Bakhtiar dan Fandi Othman.
Posisi penyerang pula mempertaruhkan gandingan Zaquan Adha Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha sambil Abdul Manaf Mamat, Ahmad Shakir Md. Ali, Ahmad Fakri Saarani dan Farderin Kadir turut mengintai tempat.
"Ramai memperkatakan tentang jentera serangan kita yang buntu dalam bebe- rapa perlawanan sebelum ini. Kita kena sedar, semua pemain ini kadangkala mengalami kemerosotan.
"Lagipun kita berdepan pasukan-pasukan kuat sebelum ini seperti Kenya, China, Arab Saudi dan Jordan. Jadi sudah tentu bari- san pertahanan mereka juga kuat dan sukar ditembusi.
"Tetapi bagi saya itu suatu pengalaman yang cukup baik buat pemain kita. Mereka dapat belajar sesuatu dan pada masa sama meningkatkan tahap keyakinan diri ketika berdepan pertahanan lawan.
"Percayalah, mereka ini akan meledak tetapi cuma ia mengambil masa. Ada lagi dua bulan untuk mereka memperkemaskan sentuhan penyudah," kata Rajagobal.
Mungkin skuad B-23 mempunyai sedikit kelebihan untuk ke Laos nanti kerana tujuh pemain yang ada dalam skuad ini pernah beraksi di Sukan SEA.
Mereka ialah Syed Adney, Aidil Zafuan, Amirul- hadi, Zaquan Adha, Safiq, Bunyamin dan Norshahrul Idlan yang berada dalam skuad negara kendalian B. Sathianathan pada Sukan SEA 2007 di Korat.
Cabaran buat Rajagobal ialah beliau perlu mengula- ngi sentuhan emas yang dimiliki jurulatih import dari England, Trevor Hartley yang membimbing skuad negara menewaskan Singapura 3-1 pada final Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Buat pemain-pemain skuad 2009 ini, cabaran yang perlu disahut mereka ialah mengulangi kejayaan skuad 1989 yang ketika itu dibarisi Rashid Hassan, Mubin Mokhtar, Radhi Mat Din, Razip Ismail, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azizol Abu Haniffah, Ahmad Yusoff, Serbegeth Singh, Subadron Aziz, P. Ravindran, Lim Teong Kim serta rakan-rakan mereka yang lain.
Pada final Sukan SEA 1989 itu, Teong Kim menjaringkan dua gol dan Dollah satu gol manakala gol tunggal Singapura diperoleh menerusi Fandi Ahmad.
Malangnya, itulah kali terakhir Malaysia berjaya merangkul pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.
Pada tahun 2001, Malaysia hampir menamatkan kemarau itu tetapi sekadar meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam.
Sukan SEA 2003 di Vietnam dan 2005 di Filipina menyaksikan Malaysia sekadar meraih pingat gangsa tetapi malang menimpa pada Sukan SEA 2007 di Korat apabila skuad B-23 negara gagal melangkah ke sepa- ruh akhir.
Diharap sentuhan emas Rajagobal kali ini mampu merealiasikan impian melihat skuad B-23 negara pulang dari Laos dengan satu kejayaan iaitu menamatkan penantian selama 20 tahun.
No comments:
Post a Comment