Tuesday, October 27, 2009

Taruhan Torres berbaloi buat Liverpool







Pemain Liverpool, Fernando Torres (kiri) mudah mengatasi pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand untuk menjaringkan gol pertama dalam saingan Liga Perdana Englad, Ahad lalu. Liverpool menang 2-0.





Pertaruhan Rafael Benitez menurunkan Fernando Torres yang 80 peratus cergas berbaloi apabila pemain Sepanyol itu menyumbat satu daripada dua gol kemenangan ke atas Manchester United dalam aksi Liga Perdana England, Ahad lalu.Torres yang menanggung kesakitan pada pangkal paha dan memerlukan ubat penahan sakit untuk meredakannya, diturunkan pada saat-saat akhir.
Usaha itu jelas membakar semangat pasukan apabila penyerang Sepanyol itu menewaskan Rio Ferdinand untuk meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-65 sebelum David Ngog menambah derita pelawat ketika permainan hendak tamat.
''Keputusan menurunkan dia (Torres) amat sukar kerana dia tidak berlatih (rehat). Anda boleh melihat aksinya kadang-kala tidak cergas tetapi dengan tahap cergas 80 peratus, dia berjaya melakukan perubahan besar,'' kata Benitez.
Benitez yang sebelum ini tertekan selepas tewas kepada Chelsea dan Sunderland, malah kalah dalam Liga Juara-Juara kepada Fiorentina dan Olympique Lyon berkata, para pemainnya telah menjawab semua kritikan yang dilemparkan.
''Semangat, sikap dan karakter pemain-pemain saya adalah kelainannya. Mereka semua bekerja keras sejak mula dan mereka jugalah yang menjawab semua persoalan itu hari ini.
''Kami telah membuktikan pasukan ini sebenarnya hebat daripada orang lain memikirkannya. Ini berkaitan dengan sedikit tuah.
''Kami perlu menang untuk meningkatkan keyakinan. Saya rasa kemenangan ini akan menjadi pencetus semangat pasukan dan peminat. Harap-harap kami akan dapat menjadikannya pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan ini,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Torres juga menekankan betapa pentingnya kemenangan, Ahad lalu.
''Ini adalah kemenangan besar buat kami. Kami membuktikan jika bermain dalam berpasukan dan bekerja kuat, kami boleh menimbulkan ancaman kepada sesiapa jua. Apa yang perlu sekarang ialah mengekalkan rentak sebegitu,'' kata Torres.
Dalam pada itu, pengurus United, Alex Ferguson kecewa apabila pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher tidak diperintah keluar padang selepas menjatuhkan Michael Owen yang hampir mendapat peluang menyamakan kedudukan.
''Akan ada kontroversi yang akan orang perkatakan tentang Carragher yang menjatuhkan Michael Owen. Mungkin keadaan akan menyukarkan jika dia (Carragher) dibuang padang,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails