Manchester United ketinggalan seawal minit pertama lagi dan kemudian terpaksa bermain dengan sepuluh pemain namun masih tetap mampu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspur di White Hart Lane semalam sekaligus menamatkan rekod kemenangan 100% Spurs dalam saingan EPL musim ini.
Jaringan akrobatik Jermain Defoe pada minit pertama memberikan permulaan baik buat pasukan tuan rumah tetapi United sememangnya mempunyai sejarah bangkit kembali walaupun ketinggalan ketika menentang Spurs, 5-2 pada musim lalu dan 5-3 lapan tahun lalu.
Setelah Dimitar Berbatov dijatuhkan di luar kotak penalti lawan pada minit ke-25, Ryan Giggs tidak mensia-siakan sepakan percuma yang diperolehi dengan melencongkannya ke penjuru kiri pintu gol Spurs untuk menyamakan kedudukan.
Anderson kemudiannya meletakkan United di depan pada minit ke-41 dengan rembatan kaki kiri yang langsung gagal dicapai oleh Carlo Cudicini dan di sebalik kekurangan seorang pemain setelah Paul Scholes di buang padang pada minit ke-59, United berjaya menambah gol ketiga menerusi Wayne Rooney pada minit ke-78.
Perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan, Spurs mahu membuktikan bahawa kedudukannya di tangga keempat liga dengan empat kemenangan berturut-turut sebelum ini adalah bukan kerana nasib semata-mata manakala United pula mahu menunjukkan yang mereka juga mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu tanpa kelibat Cristiano Ronaldo.
No comments:
Post a Comment