Saturday, September 5, 2009

Rooney lebih bersedia


WAYNE Rooney (dua dari kanan) bergurau dengan penolong jurulatih England, Italo Galbiati (kanan) sambil diperhatikan oleh David Beckham pada sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan dengan Slovenia hari ini dan aksi kelayakan Piala Dunia dengan Croatia, Rabu ini di London Colney, England, semalam.

Wayne Rooney bersedia menggalas bebanan sebagai pemain utama England dan Manchester United pada musim terpenting dalam hidupnya.

Musim lalu, Rooney menjadi pembantu penyerang kepada kepada Cristiano Ronaldo di United dan lebih kerap diturunkan di posisi kiri oleh Sir Alex Ferguson bagi memberi ruang kepada rakan sepasukannya itu mara ke depan pintu gol.

Begitupun, perpindahan Ronaldo ke Real Madrid memberikan Rooney peluang kembali ke posisi sebagai penyerang tengah.

Sebarang keraguan terhadap kemampuan Rooney sebagai penyerang utama United terpadam apabila dia menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan pertama United.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu tidak hanya menggalas tugas sebagai penyerang United.

England akan menentang Slovenia pada perlawanan persahabatan hari ini di Wembley, menjelang perlawanan penting kelayakan Piala Dunia menentang Croatia, Rabu ini.

Rooney dijangka akan menjadikan kedua-dua perlawanan itu untuk menilai mengapa jurulatih Fabio Capello membina pasukan England bersama bekas penyerang Everton itu.

Jika menang ke atas Croatia, ia akan memastikan tempat England ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan dan boleh memulakan pengiraan detik untuk satu lagi percubaan menamatkan penantian panjang negara itu memenangi kejohanan Piala Dunia sejak kali pertama melakukannya pada 1966.

“Apabila Cristiano dan Carlos Tevez berpindah, ia merupakan satu cabaran besar United untuk mengekalkan kejuaraan liga, secara peribadi saya telah menyebut bahawa saya mahu menjaringkan lebih banyak gol.

“Selepas itu berlangsung Piala Dunia di penghujung tahun, jadi saya rasa ia sudah pasti menjadi tahun terpenting dalam hidup saya.

“Saya pernah katakan bahawa saya mula beraksi pada usia 16 tahun. Sejak itu wujud jangkaan dan tekanan. Saya tiada masalah tentang itu. Saya melihat ia sebagai cabaran.

“Saya memberikan aksi yang terbaik untuk England berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Saya benar-benar gembira bersama United dan berharap United dan England akan mendapat manfaat daripadanya,’’ kata Rooney.

Ketika penjualan Ronaldo menyebabkan Ferguson kembali meletakan Rooney di posisi penyerang tengah, Capello pula membuat keputusan dia yakin terhadap penyerang panas baran itu sejak mula mengendalikan England.

Atas beberapa sebab, sebelum ini Rooney kelihatan hilang minat untuk aksi antarabangsa selepas kemerosotan England di bawah jurulatih Sven Goran Eriksson dan Steve McClaren.

Ketandusan gol yang berpanjangan dalam perlawanan kompetitif bersama England membuktikan kerapuhan azam Rooney, namun Capello menyegarkan semua keghairahan bintang United itu untuk aksi bersama negaranya.

“Dia mungkin pengurus England pertama yang saya pernah beraksi di mana anda akan menyedari bahawa anda akan digugurkan jika tidak beraksi dengan baik.

“Daripada kehadirannya ketika dia mula-mula tiba, adalah jelas semua orang melihat dia seorang yang kuat, memiliki keazaman dan mahu menang.

“Dia menerangkan secara jelas apa yang dia mahu anda lakukan dan bagaimana dia mahu kami beraksi.

“Latihan anda akan dirakamkan dan kemudian kami menonton rakaman tersebut untuk melihat sebarang kesilapan,’’ kata Rooney.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails