Andai ada 'isu penyerang kembar' berlegar dalam minda Fabio Capello buat mencanang cabaran England dalam kempen Piala Dunia 2010, ia tampak mudah kerana Jermain Defoe dan Wayne Rooney kini hangat disebut pertaruhan terbaik ketika ini.
Gambaran itu dijangka akan terpapar jelas apabila pengurus pasukan skuad The Three Lions itu menggunakan khidmat penyerang Tottenham Hotspur dan Manchester United apabila turun menentang Slovenia dalam siri persahabatan antarabangsa, esok.
Seorang lagi penyerang yang dijangka akan menjadi pertaruhan dalam perlawanan ini sebelum England menghadapi Croatia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 9 September ini adalah Emile Heskey yang berfungsi baik bersama Rooney ketika menentang Croatia dan Kazakhstan sebelum ini.
Detik kecewa masih dirasai Defoe apabila digugurkan pada saat terakhir menjelang Piala Dunia 2006 oleh bekas , pengurus, Sven Goran Eriksson tetapi dia kini jelas sudah menambat hati Capello dalam perancangan besarnya.
“Saya terasa lebih kuat pada hari ini. Secara mental saya kuat dan bersedia memberi persembahan terbaik untuk England,” katanya.
Di bawah Capello, England tampak selesa bermain bersama Heskey mengetuai jentera serangan dan Rooney di belakangnya tetapi prestasi Defoe untuk kelabnya - di mana dia menjaringkan empat gol musim ini - menjadikannya sukar untuk diketepikan.
No comments:
Post a Comment