Friday, September 18, 2009

Eduardo inspirasi kemenangan Arsenal


EDUARDO (kiri) cuba melepasi asakan pemain Standard Liege pada saingan Liga Juara-Juara Kumpulan H di Liege, kelmarin. Arsenal menang 2-3 hasil jaringan lewat Eduardo. - AFP

Dua hari selepas penggantungannya dibatalkan, Eduardo da Silva menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Arsenal bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan menundukkan Standard Liege 3-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, semalam. Dalam satu lagi perlawanan tumpuan, pertembungan di antara penyandang juara, Barcelona dan juara liga Itali, Inter Milan di San Siro berakhir seri tanpa jaringan.
Juara lima kali, Liverpool pula menang tipis 1-0 ke atas pendatang baru, Debrecen dari Hungary, manakala Dynamo Kiev, Lyon serta Sevilla turut memulakan kempen peringkat dengan kemenangan.
Dalam perlawanan Kumpulan H, juara liga Greece, Olympiakos meraikan kehadiran jurulatih baru, Zico dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas AZ Alkmaar dari Belanda.
Arsenal ketinggalan dengan dua gol hanya dalam tempoh lima minit di Stadium Maurice Dufrasne, Belgium selepas Eliaquim Mangala menjaringkan gol pembukaan pada minit kedua menerusi rembatan rendah dan Milan Jovanovic menambah gol kedua menerusi sepakan penalti di minit kelima, selepas dijatuhkan William Gallas.
Ketika babak pertama tinggal beberapa saat untuk ditamatkan, Nicklas Bendtner berjaya merapatkan kedudukan 2-1, sebelum Thomas Vermaelen pula berjaya menjaringkan gol penyamaan di minit ke-78.
Eduardo, yang hampir terlepas perlawanan semalam, muncul wira Arsenal dengan menyumbat gol kemenangan hasil rembatan jarak dekat, sembilan minit sebelum tamat permainan.
Penyerang Croatia itu pada awalnya digantung dua perlawanan oleh jawatankuasa disiplin badan bola sepak Eropah Eropah, UEFA kerana didapati bersalah sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan penalti ketika menentang Celtic dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Arsenal berjaya memenangi rayuannya, Isnin lalu dan Eduardo dibenarkan beraksi.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, juara liga Greece, Olympiakos yang membuat penampilan pertama bersama jurulatih baru iaitu bekas bintang Brazil, Zico bermula baik dengan mengutip tiga mata penuh, terima kasih kepada tandukan Vassilis Torosidis pada minit ke-79.
Perlawanan pertama penyandang juara, Barcelona pula berakhir tanpa jaringan, menentang juara Itali, Inter Milan, yang dibimbing oleh bekas pembantu jurulatih Barca, Jose Mourinho.
Walaupun Barcelona mendominasi kawalan bola di San Siro, namun secara keseluruhan skuad bimbingan Mourinho memiliki taktik permainan lebih baik dan kedua-dua pasukan berhak berkongsi satu mata.
Itu bermakna, Inter dan Barca ketinggalan di belakang kelab Ukraine, Dynamo Kiev, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan juara Rusia, Rubin Kazan 3-1 dan menerajui Kumpulan F.
Alejandro Dominguez membuka jaringan Rubin pada minit ke-25, tetapi Ayiila Yussuf, Gerson Magrao dan Oleg Gusev membantu kebangkitan Kiev untuk menghadiahkan tiga mata buat tuan rumah.
Liverpool pula bergelut untuk menumpaskan juara Hungary, Debrecen, yang hanya membuat penampilan pertama dalam Liga Juara-Juara di Anfield. Gol tunggal perlawanan hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi tendangan jarak dekat Dirk Kuyt.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Lyon berkongsi mata dengan Liverpool selepas turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Itali, Fiorentina hasil jaringan Miralem Pjanic di minit ke-76.
Fiorentina mengharungi sebahagian besar babak kedua dengan 10 pemain selepas penyerang mereka, Alberto Gilardino dibuang padang kerana menyiku muka Jeremy Toulalan.
Bintang Brazil, Luis Fabiano dan Renato pula masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu Sevilla mengalahkan juara Romania, Unirea Irziceni 2-0.
Kelab Sepanyol itu mengungguli Kumpulan G selepas satu lagi perlawanan yang melibatkan kelab Jerman, VfB Stuttgart dan juara Scotland, Rangers berakhir seri 1-1.
Pavel Pogrebniak meletakkan Stuttgart di depan menerusi rembatan kaki kanan pada minit ke-18, tetapi Madjid Bougherra menyamakan kedudukan pada minit ke-77

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails